
CYCLE & CARRIAGE PERLUAS RANGKAIAN SERVIS LEAPMOTOR DI IPOH
CYCLE & Carriage Malaysia memperkukuh rangkaian selepas jualan Leapmotor menerusi pembukaan pusat servis baharu di Taman Ipoh, Perak, bagi memudahkan pemilik kenderaan jenama itu mendapatkan khidmat penyelenggaraan dan sokongan teknikal.
Pusat servis Leapmotor Allure Auto Ipoh itu dikendalikan pengedar sah, Allure Auto Sdn Bhd, dengan keluasan operasi 4,100 kaki persegi serta dilengkapi tiga ruang servis dan tujuh kakitangan selepas jualan.
Pembukaannya merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Cycle & Carriage bersama rakan pengedarnya untuk memperluas rangkaian pengedar dan perkhidmatan selepas jualan Leapmotor di Malaysia.

Pusat servis itu menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk penyelenggaraan berkala, pemeriksaan pencegahan, sokongan waranti, diagnosis kerosakan, pembaikan am dan bekalan alat ganti.
Bukan itu sahaja, ia turut menyediakan pemeriksaan serta penyelenggaraan khusus kenderaan elektrik (EV), selain perkhidmatan membaiki badan dan mengecat kenderaan.
Dari segi kelengkapan, pusat berkenaan dilengkapi sistem diagnostik, peralatan pemeriksaan voltan tinggi, alat diagnostik bateri khusus serta peralatan penentukuran Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS).

Pelanggan juga boleh menggunakan ruang menunggu berhawa dingin yang menyediakan akses Wi-Fi dan minuman, selain kemudahan parkir khusus sepanjang urusan servis dijalankan.
Leapmotor Allure Auto Ipoh Service Centre terletak di No. 42, Lintasan Perajurit 17H, Taman Ipoh, 31400 Ipoh, Perak.
Waktu operasinya adalah dari Isnin hingga Jumaat, 8.30 pagi hingga 5.30 petang, manakala Sabtu dari 8.30 pagi hingga 1.30 tengah hari.









