
CYCLE & CARRIAGE PERKUKUH KEHADIRAN DI SELATAN, RASMI PUSAT 3S LEAPMOTOR JOHOR BAHRU
Cycle & Carriage (C&C) terus mengembangkan rangkaian jenama Leapmotor di Malaysia menerusi pembukaan pusat 3S baharu di Johor Bahru, sekali gus mengukuhkan lagi kerjasamanya dengan Stellantis Malaysia serta meningkatkan akses pelanggan di wilayah selatan kepada kenderaan elektrik (EV) dan perkhidmatan selepas jualan.
Terletak secara strategik di kawasan Kempas, fasiliti baharu ini menjadi cawangan Leapmotor keenam yang dikendalikan oleh Cycle & Carriage di seluruh negara.
Pembukaan pusat tersebut turut mencerminkan usaha berterusan syarikat untuk menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh melalui perkhidmatan jualan, servis dan alat ganti di bawah satu bumbung.

Dibangunkan di atas tanah seluas kira-kira 3,783 meter persegi dengan keluasan binaan sekitar 10,000 kaki persegi, pusat setingkat itu menempatkan ruang pameran moden, bengkel servis serta pejabat operasi di aras mezanin.
Ruang pameran mampu memuatkan sehingga empat kenderaan untuk dipamerkan pada satu-satu masa.
Bagi meningkatkan pengalaman pelanggan, pusat berkenaan turut dilengkapi ruang konsultasi khas serta bilik penyerahan kenderaan persendirian bagi memastikan proses pembelian dan penerimaan kenderaan berlangsung dengan lebih selesa dan eksklusif.

Selain fungsi jualan, kemudahan selepas jualan yang disediakan merangkumi empat ruang servis dan bengkel, kawasan cucian kenderaan serta pusat perincian (detailing) khusus.
Kemudahan ini direka untuk menyokong penyelenggaraan dan servis berkala dengan lebih cekap, sejajar dengan kepakaran Cycle & Carriage dalam menyediakan sokongan selepas jualan yang berkualiti.
Ketua Pegawai Eksekutif Cycle & Carriage Malaysia, Adrian Short berkata, pembukaan pusat baharu itu membuktikan komitmen syarikat untuk memberikan pengalaman pemilikan yang lancar kepada pelanggan, bermula daripada proses pembelian sehingga perkhidmatan selepas jualan.

“Pembukaan Leapmotor Cycle & Carriage Johor Bahru 3S Centre mencerminkan komitmen kami dalam meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap jenama ini melalui pengalaman pemilikan yang menyeluruh.
Kami teruja melihat pertumbuhan Leapmotor di wilayah selatan dan berharap lebih ramai pelanggan dapat menikmati perkhidmatan terbaik menerusi perkembangan ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo berkata, peluasan rangkaian pengedaran dan perkhidmatan kekal menjadi keutamaan syarikat dalam memperkukuhkan kehadiran Leapmotor di Malaysia.

Menurut beliau, pembukaan fasiliti di Johor Bahru merupakan langkah penting dalam membawa teknologi dan inovasi Leapmotor lebih dekat kepada pengguna di salah satu pasaran automotif yang berkembang pesat di negara ini.
Cycle & Carriage dan Stellantis Malaysia turut memaklumkan bahawa mereka merancang untuk membuka lebih banyak fasiliti pada masa hadapan termasuk di Lembah Klang dan Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan akses kepada mobiliti elektrik serta memperkukuhkan keyakinan pengguna terhadap jenama tersebut.
Pusat pameran Leapmotor Cycle & Carriage Johor Bahru beroperasi dari jam 8 pagi hingga 6 petang, Isnin hingga Sabtu, manakala pada Ahad dan cuti umum ia dibuka dari jam 11 pagi hingga 5 petang.
Pusat servis pula beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja, 8 pagi hingga 12 tengah hari pada Sabtu dan ditutup pada Ahad serta cuti umum.







