Buletin

LUMPUH TAK BUAT PATAH SEMANGAT – MEKANIK OKU CARI REZEKI, BAIKI MOTOSIKAL DARI ATAS KATIL

Demi mencari rezeki, seorang pemuda yang lumpuh daripada paras pinggang tetap gigih membaiki motosikal walaupun terpaksa melakukan kerja dari atas katil.

Mohammad Zulkarnain, 27, lumpuh separuh badan selepas terbabit kemalangan ketika pulang daripada kerja sebagai pembantu gerai pasar malam pada 2015.

Walaupun berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), ia tidak sesekali mematahkan semangat Mohammad Zulkarnain, sambil dibantu adik bongsunya, Mohamad Hazarul Nizam, berusia 13 tahun, untuk membaiki jentera dua roda.

Untuk makluman, Mohamad Zulkarnain membaiki motosikal di hadapan rumah keluarganya di Parit 2/6R Labu Kubung, Chenderong Balai.

Menurut Mohamad Zulkarnain, kejadian itu mengubah sepenuhnya kehidupannya yang ketika itu baru berusia 19 tahun dan ligat membantu meringankan beban ibu bapanya.

“Selama setahun saya berehat untuk kembali pulih sepenuhnya dan selepas itu barulah saya teruskan minat membaiki motosikal biarpun pergerakan sudah tidak lincah seperti dulu,” kata anak sulung daripada lima beradik itu.

Ceritanya lagi, apabila dia mahu membaiki motosikal pelanggan, ahli keluarganya akan menolak katil ke depan rumah.

“Saya lebih selesa buat kerja dengan cara berbaring, kalau duduk di kerusi roda agak sukar sedikit. Saya tetap mahu jadi mekanik kerana minat selain tidak mahu kemahiran yang ada terkubur begitu saja,” ujar Mohammad Zulkarnain.

Katanya, tempoh membaiki motosikal tidak tentu kerana bergantung kerosakan, namun dia mengakui masa diambil mungkin lebih sedikit disebabkan keadaannya, namun situasi itu difahami pelanggan.

Adiknya Mohamad Hazarul Nizam pula ringan tulang untuk membantu dia membuka atau memasang semula, menukar tayar, rantai serta minyak hitam sambil berkongsi ilmu pembaikan dengan adiknya.

“Tak banyak motosikal yang dibaiki. Adalah sebuah atau dua saja untuk sebulan kerana kami tinggal di kampung dan di sini juga ada bengkel lain.

“Tetapi bersyukur juga ada kawan serta orang kampung sudi hantar motosikal mereka kepada kami dan saya tetap gembira dengan rezeki ini biarpun pendapatan tidak seberapa,” Tambahnya.

Orang ramai mahu mendapatkan khidmat Mohamad Zulkarnain boleh menghubungi talian 013-8065391. – Harian Metro

Google ads
Back to top button