Buletin

TOYOTA INNOVA ZENIX BAKAL DILANCARKAN DI MALAYSIA TIDAK LAMA LAGI?

Setelah tiba di pasaran Indonesia November tahun lalu, kini giliran Malaysia pula menerima kehadiran Toyota Innova Zenix yang dikesan di atas treler oleh RiderATH baru-baru ini.

Toyota Innova Zenix dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) GA-C bagi menggantikan platform jenis ladder frame IMV dan mempunyai susun atur tujuh atau lapan tempat duduk.

Dari segi dimensi, ia mempunyai ukuran 4,755mm (panjang), 1,850mm (lebar) dan 1,795mm (tinggi), sementara jarak roda diletakkan pada 2,850mm, iaitu 35mm lebih panjang berbanding Proton X90.

Di dalam kabin, Innova Zenix untuk pasaran Malaysia berkemungkinan disertakan skrin infotainmen 10-inci, kerusi ottoman untuk tempat duduk barisan kedua, skrin infotainmen berkembar di bahagian belakang kerusi pemandu dan penumpang depan.

Ia juga bakal dilengkapkan dengan spesifikasi lainnya, seperti sunroof, TSS 3.0 (Toyota Saftey Sense) dimana teknologi ini disepadukan dengan Pre-Colission System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) with Curve Speed Reduction, Lane Tracing Assist (LTA), hingga Automatic High Beam (AHB).

Di Indonesia, Innova Zenix tersedia dalam dua pilihan enjin iaitu petrol dan hibrid.

Model itu menggunakan enjin baharu iaitu enjin Dynamic Force 2000cc M20A FKS, menghasilkan 172hp pada 6600rpm dan 205Nm tork pada 4500rpm.

Sementara trenkuasa hibrid pula dikuasakan oleh enjin MA20A FXS, menghamburkan kuasa 150hp pada 6000rpm dan 187Nm tork pada 4400rpm.

Kuasa enjin digabungkan bersama motor elektrik, menjana 111hp dan 205Nm tork dengan kuasa elektrik dibekalkan daripada bateri nikel metal hydride.

Sebagai rujukan, Toyota Innova Zenix boleh dimiliki bermula RM122,057 sehingga RM175,118 di Indonesia. – Cari Carz

Google ads
Back to top button