Buletin

HYUNDAI MOTORSPORT LANTIK FRANCOIS-XAVIER DEMAISON SEBAGAI PENGARAH TEKNIKAL BAHARU. NAK MENANG WRC KATANYA

Sebagai usaha untuk mengukuhkan impian untuk memenangi saingan FIA World Rally Championship (WRC) musim ini pasukan Hyundai Motorsport telah melantik François-Xavier (FX) Demaison sebagai Pengarah Teknikal yang baharu.

Lelaki berbangsa Perancis ini akan memulakan tugasan yang baharu diwujudkan oleh pasukan Hyundai Motorsport pada 1 Jun 2023 dan akan membawa sekali pengalaman yang cemerlang selama lebih dari 26 tahun. Beliau sebelum ini telah memegang jawatan yang dihormati dalam WRC di Subaru dan Volkswagen, serta dalam F1 di Williams Racing.

Peminat sukan rali WRC pastinya cukup mengingati pengalamam beliau sewaktu bersama pasukan Volkswagen dengan pencapaian yang luar biasa, di mana pasukan tersebut memenangi empat gelaran pemandu dan pengeluar berturut-turut dalam saingan WRC dari tahun 2013 hingga 2016. Dalam empat musim tersebut, Volkswagen telah berjaya muncul sebagai juara dalam 43 daripada 52 perlumbaan yang cukup mengagumkan.

Menggalas tugas sebagai Pengarah Teknikal, François-Xavier (FX) Demaison akan mengetuai usaha Jabatan Kenderaan dan Tren Kuasa Hyundai Motorsport, dan akan bekerjasama rapat dengan Pengurus Program WRC, Christian Loriaux, dalam memastikan pembangunan Hyundai i20 N Rally1 Hybrid.

Selain itu, beliau juga akan bekerjasama dengan Presiden Hyundai Motorsport Sean Kim dan juga Prinsipal Pasukan Cyril Abiteboul dalam usaha membentuk dan merancang pembangunan program perlumbaan masa hadapan untuk pasukan.

Dengan penuh semangat, Demaison menyatakan, “Saya sangat bersemangat untuk memulakan peranan baru ini dengan Hyundai Motorsport. Adalah jelas bahawa Hyundai mempunyai potensi yang hebat dalam dunia perlumbaan, sama ada dalam usaha sedia ada atau melalui inisiatif masa depan, terutamanya program perlumbaan berkuasa elektrik. Tanggungjawab saya adalah untuk meningkatkan dan memperluaskan keupayaan operasi Hyundai Motorsport menjadi yang terbaik di peringkat global. Saya menyukai cabaran ini dan berharap dapat bekerjasama dengan individu yang telah mencapai kejayaan besar dalam WRC dan program perlumbaan pelanggan mereka.”

Menekankan kepentingan pelantikan Demaison, Presiden Hyundai Motorsport, Sean Kim, menyatakan, “Kami gembira memiliki François-Xavier bergabung dengan kami di Alzenau untuk memimpin jabatan teknikal kami dalam aktiviti perlumbaan kami. Pengalaman dan pencapaian beliau yang luas dalam WRC, perlumbaan TCR, dan sebagainya akan menjadi sangat berharga saat kami berusaha untuk menetapkan diri kami sebagai rujukan dalam program perlumbaan kami.”

Semoga dengan perlantikan ini akan memberikan impak segera buat pasukan Hyundai khususnya untuk perlumbaan di Itali pada awal Jun nanti.

BACA : KENYATAAN PENUH DARIPADA PRINSIPAL PASUKAN HYUNDAI MOTORSPORT – CYRIL ABITEBOUL

BACA : PARODI PANDU UJI KERETA RALI “HYUNDAI R5, TOYOTA YARIS WRC & TOYOTA GR YARIS RALLY1”

Google ads

B K

Back to top button