Buletin

VIRAL BUDAK 6 TAHUN PANDU KERETA – TERBABAS, LANGGAR TIANG LAMPU

Sebuah kereta jenis Toyota Vios yang terbabas di bahu jalan didapati dipandu seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun bersama adik lelakinya berumur tiga tahun.

Hasil siasatan mendapati dua beradik itu dipercayai keluar dari rumah ketika bapa mereka sedang tidur, manakala ibu berada di dalam bilik air.

Kejadian kira-kira pukul 11.15 malam tadi berlaku di Jalan Bukit Tangga berhampiran Titi Chanwang, sebelum video memaparkan kenderaan berwarna putih itu terbabas tular di media sosial.

Menerusi video tersebut, kanak-kanak berusia enam tahun itu dilihat begitu tenang dan berulang kali memberitahu mahu ke kedai membeli kereta mainan bersama adiknya.

Kanak- kanak terbabit bernasib baik kerana hanya mengalami luka kecil pada dagu, sementara adik lelaki berusia tiga tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Video tular di media sosial juga menunjukkan kereta terbabit dipandu secara berbahaya sehingga pengguna jalan raya lain menyangkakan pemandu mabuk, namun terkejut apabila mendapati ia dipandu kanak-kanak.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, “Kereta itu datang dari arah Ulu Melaka lalu hilang kawalan dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, berdekatan Titicawang,”

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button