Buletin

TOYOTA ALTIS GEN-12 DILANCARKAN DI THAILAND. SUDAH SEDIA LAWAN CIVIC KETAM?

Toyota Motor Thailand semalam melancarkan sedan segmen C popularnya, Corolla Altis ke pasaran tempatan.

Mahu menjangkau audiens seluas mungkin, Corolla Altis didatangkan dengan enam varian menerusi tiga pilihan enjin. Varian asas dijana oleh enjin empat selinder  bersesaran 1.6 liter berkuasa 125PS dan tork 156Nm.

Pengguna di sana juga boleh memilih Corolla Altis dengan enjin 1.8 liter yang berupaya menghasilkan kuasa 140PS (kurang 1hp berbanding model terdahulu) dan tork 177Nm. Kedua-dua enjin itu dipadankan dengan kotak gear CVT.

Varian hibrid menjadi pilihan paling tinggi. Ia berkongsi rangkaian kuasa yang sama dengan SUV C-HR Hybrid iaitu enjin 1.8 liter Atkinson Cycle dan motor elektrik yang mampu menjana 122hp.

Corolla Altis ditawarkan pada harga bermula 869,000 baht (RM119,000) untuk model 1.6 liter yang disasarkan kepada pemandu atau syarikat teksi.

Sementara varian pertengahan berharga 989,000 baht (RM136,000) dan hibrid pula berharga 1.09 juta baht (RM151,200) seunit.  

Apa yang lebih menarik, Toyota Motor Thailand ada menawarkan satu varian baharu dikenali sebagai GR Sport. Diambil daripada varian 1.8L, ia menggantikan model Esport dan ditawarkan pada harga 999,000 baht (RM137,500) seunit.   

Sebagai varian yang lebih sporty, GR Sport dilengkapi beberapa ciri seperti tempat duduk dibalut kulit dan kemasan berwarna hitam pada bahagian hadapannya.

Antara ciri lain yang ditawarkan (bergantung kepada varian) termasuklah sistem kemasukan tanpa kunci, kamera undur, butang penghidup enjin, T-Connect telematik, Nanoe ioniser dan banyak lagi.

Sekali pandang, sedan generasi ke-12 itu sememangnya jauh lebih sporty berbanding model sedia ada. Rekaan tersebut diserlahkan oleh sepasang lampu utama nipis, bampar bawah yang lebar, selain kemasan berbentuk C dan sepasang lampu kabus.

Bahagian belakang pula dipasang dengan sepasang lampu LED lebih lebar. Menjengah ke ruang kabin, pemandu dihidangkan dengan susun atur papan pemuka yang kemas.

Sistem infohibur dengan skrin bersaiz lapan inci itu menawarkan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Bukan itu sahaja, ia juga dipasang dengan head-up display lebih besar dan paparan speedometer digital bersaiz tujuh inci.

Menggunakan platform TNGA seperti C-HR dan Camry, Corolla Altis menjanjikan kualiti pengendalian yang lebih mantap. Aspek keselamatan dipertingkatkan dengan tujuh beg udara dana sistem kawalan kestabilan sebagai ciri standard pada semua varian.

Pakej keselamatan Toyota Safety Sense bagaimanapun hanya ada pada varian hybrid. Ia merangkumi beberapa ciri seperti brek kecemasan autonomi,kawalan jelajah adaptif, Lane Departure Warning, Lane Keeping Assist, lampu tinggi automatik, sistem pemantauan tekanan tayar, Rear Cross Traffic Alert, sistem bantuan parkir dan banyak lagi.  

Di Thailand, Corolla Altis akan bersaing secara langsung dengan model-model seperti Honda Civic, Mazda3 dan Nissan Sylphy, namun tiada satu pun daripadanya menawarkan varian  hibrid.

GALERI

Google ads
Back to top button