
MASALAH KAMERA UNDUR, HONDA PANGGIL SEMULA 117 RIBU RIDGELINE DI AS
Setelah bertahun-tahun membuat aduan, para pemilik trak pikap Honda Ridgeline akhirnya mampu menarik nafas lega.
Ini kerana Honda akhirnya membuat keputusan untuk memanggil semula 117,445 unit Ridgeline yang dipasang antara 29 Oktober 2015 hingga 1 Jun 2019 disebabkan sistem abah-abah pendawaian pada pintu tailgate yang cenderung untuk rosak akibat kurang perlindungan.
Sekiranya wayar tersebut putus selepas pintu dibuka dan ditutup, ia berkemungkinan besar akan mengakibatkan kamera undur tidak berfungsi, dan boleh meningkatkan risiko kecederaan semasa pemanduan.

Isu ini turut diajukan kepada Pejabat Penyiasatan Kecacatan, Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat, di mana sekurang-kurangnya 42 orang pemilik membuat aduan berkenaan masalah tersebut.
Malah, organisasi itu menyatakan bahawa kebanyakan aduan menunjukkan kegagalan berlaku sejurus selepas waranti habis.
Kebanyakan pemilik akan dihubungi Honda bermula 16 Januari 2023, dan setiap kenderaan akan diperiksa dengan teliti untuk menggantikan sistem abah-abah pendawaian tersebut secara percuma. – Carscoops