Buletin

INOVASI ATAU ILUSI, DI MANA IDENTITI KERETA CHINA?

Industri automotif China kini berdepan satu masalah yang semakin ketara: kecenderungan meniru trend secara membuta tuli.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, segmen kenderaan tenaga baharu (NEV) menyaksikan tahap penyeragaman yang tinggi, sehingga banyak model kelihatan hampir sama dari segi reka bentuk dan susun atur.

Lampu hadapan jalur penuh, lampu tajam bergaya futuristik, lidar di atas bumbung, pemegang pintu tersembunyi serta rekaan kabin dengan “formula tiga serangkai” — panel meter kecil, skrin tengah bersaiz besar dan stereng bawah rata, kini seolah-olah menjadi acuan wajib.

Menjelang 2025 pula, sistem bantuan pemanduan canggih Huawei Qiankun ADS dijangka menjadi kelengkapan hampir standard, bukan sahaja pada jenama tempatan tetapi juga model usaha sama seperti Audi A5L dan Q5L.

Naib Presiden Geely merangkap Ketua Reka Bentuk Global, Chen Zheng, secara terbuka mengkritik situasi ini dan menyifatkan industri automotif China terperangkap dalam budaya ikut-ikutan.

Menurut beliau, penggunaan elemen popular tanpa pertimbangan identiti jenama menyebabkan pengguna semakin sukar membezakan satu model dengan model lain hanya berdasarkan penampilan.

Pandangan itu turut disokong oleh Pengerusi Voyah, Lu Fang, yang berpendapat persaingan sengit yang kelihatan di pasaran sebenarnya mencerminkan kekurangan inovasi sebenar.

Ironinya, syarikat induk Voyah sendiri, Dongfeng, pernah terpalit kontroversi rekaan apabila model Forthing Xinghai S7 dikritik kerana didakwa terlalu mirip dengan IM L7.

Persoalannya, mengapa amalan ‘ciplak’ begitu berleluasa? Jawapan paling mudah: membangunkan sebuah kereta memerlukan kos yang sangat tinggi, melibatkan ribuan komponen, rantaian bekalan kompleks serta pematuhan ketat terhadap piawaian keselamatan dan teknikal. Meniru dianggap jalan singkat yang lebih murah dan pantas.

Pemerhati industri mendedahkan bahawa senarai komponen dalam kalangan pengeluar NEV di China sangat serupa.

Walaupun kenderaan ini kelihatan sarat teknologi, hakikatnya banyak model hanya berbeza luaran, sementara asas teknologi di bawahnya hampir sama.

Demi keuntungan jangka pendek, sesetengah syarikat memilih untuk meniru berbanding melabur dalam inovasi tulen berasaskan keperluan pengguna.

Keadaan ini mewujudkan persaingan tahap rendah yang tertumpu kepada harga dan spesifikasi semata-mata, sekali gus membanjiri pasaran dengan apa disifatkan sebagai “inovasi palsu”, produk yang kelihatan baharu tetapi gagal menawarkan nilai sebenar kepada pengguna.

Tambahan pula, perlindungan hak harta intelek di China masih menjadi cabaran besar. Penentuan sama ada sesuatu reka bentuk luaran melanggar hak cipta sering bersifat subjektif.

Banyak kes berakhir dengan penyelesaian luar mahkamah atau digugurkan, sekali gus memberi isyarat salah kepada pihak tertentu bahawa peniruan adalah risiko yang boleh diterima.

Selagi isu ini tidak ditangani secara menyeluruh, industri automotif China berisiko terperangkap dalam kitaran pengeluaran besar-besaran yang seragam, mengorbankan kreativiti, identiti jenama dan inovasi sebenar.

Google ads
Back to top button