
REKAAN AGRESIF, KUASA 313kW — INILAH LEXUS RZ600e F SPORT PERFORMANCE
Jepun sudah pun menerima Lexus RZ versi paling ekstrem dan berprofil tinggi untuk SUV elektrik ini menerusi Lexus RZ600e F Sport Performance.
Model ini dibangunkan berasaskan RZ550e, namun tampil sebagai varian dengan peningkatan prestasi yang ketara. Ia menjana kuasa sistem keseluruhan 313kW, meningkat 13kW berbanding RZ550e, hasil pelarasan semula had output bateri menurut Lexus.
Namun begitu, tambahan kuasa ini tidak mengubah angka pecutan, dengan RZ600e masih mencatat masa 0-100km/j dalam 4.4 saat.

Motor elektrik di gandar hadapan dan belakang masing-masing menghasilkan 167kW dan 268Nm, manakala pek bateri 77kWh dikekalkan. Jarak pemanduan dianggarkan sehingga 525km berdasarkan piawaian CLTC China, yang lazimnya lebih optimistik berbanding standard WLTP.
Dari sudut reka bentuk, RZ600e F Sport Performance tampil jauh lebih agresif berbanding varian lain. Ia dilengkapi kit aerodinamik gentian karbon penuh, termasuk splitter hadapan yang menonjol, diffuser belakang serta dua spoiler pada pintu but.
Tambahan sirip aliran udara di lengkungan roda hadapan dan belakang bukan sahaja lebih lebar, malah diberikan kemasan warna badan untuk penampilan lebih eksklusif.


Elemen gentian karbon turut digunakan pada bumbung, bahagian bawah lampu hadapan serta liang pengudaraan pada bonet, sekali gus menegaskan fokus prestasi model ini.
SUV elektrik ini dipadankan dengan rim aloi Enkei hitam bersaiz 21-inci, dibalut tayar Yokohama Advan Sport bersaiz 255/40 di hadapan dan 295/35 di belakang.
Sistem brek turut dipertingkat dengan cakera 20-inci dan angkup biru, termasuk unit hadapan enam omboh jenis monoblock aluminium.


Dua pilihan warna ditawarkan iaitu hitam dengan putih matte Hakugin II atau hitam dengan Neutrino Grey, dengan sentuhan aksen biru elektrik pada varian tertentu.
Bahagian kabin pula menampilkan elemen biru yang konsisten dengan identiti F Sport Performance, stereng berbentuk yoke untuk sistem stereng ‘drive-by-wire’, serta tempat duduk sukan hadapan berbalut Ultrasuede.
Ditawarkan sebagai edisi khas di Jepun, Lexus RZ600e F Sport Performance dijual pada harga bermula ¥12,165,000 (sekitar RM315,606), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai model EV paling berprestasi dalam barisan Lexus ketika ini.

