
AFAZ KENCANA SPORT 115 MENDARAT DI PENGEDAR – RM5,799
Jenama tempatan baharu, AFAZ, membuat kejutan apabila memperkenalkan AFAZ Kencana Sport 115 serba baharu untuk pasaran Malaysia.
Motosikal segmen kapcai bersesaran 115cc itu kini boleh didapati di pengedar rasmi seluruh negara dengan harga jualan RM5,799.
Untuk rekod, AFAZ merupakan jenama baharu yang diperkenalkan pihak AFY Mobility Industries dengan kerjasama Suzuki. Hasilnya, Kencana Sport 115 ini mengguna pakai enjin sama dari Suzuki Smash Fi malah rekaan keseluruhan juga mirip Smash Fi yang dipasarkan di pasaran dunia lain.

Enjin berkenaan berkemampuan menjana 9.2hp pada 7,000rpm dan 9.1Nm pada 6,500rpm.
Antara perincian lain yang ditawarkan termasuk pencahayaan LED depan dan belakang, One-Touch Easy Start System, Suzuki Oil Cooling System serta tangki bahan api berkapasiti 4.2L.
Selain Kencana Sport 115, AFAZ juga akan memperkenalkan kapcai 150cc yang turut dikuasakan enjin Suzuki.






