Artikel Pilihan

ROBOT XPENG BAKAL BERTUGAS DI PUSAT JUALAN TAHUN 2027

XPeng nampaknya semakin serius untuk melangkah jauh melangkaui dunia kenderaan elektrik (EV). Pengeluar automotif dari China itu kini mengesahkan bahawa projek robot humanoid mereka yang dikenali sebagai IRON telah memasuki fasa terakhir sebelum pengeluaran besar-besaran bermula.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif XPeng iaitu Mr. He Xiaopeng, syarikat itu menyasarkan pengeluaran besar-besaran robot humanoid tersebut menjelang penghujung tahun 2026. Jika semuanya berjalan mengikut perancangan, robot pertama dijangka mula bertugas sebagai pembantu jualan di pusat pameran XPeng seawal suku pertama tahun 2027.

Pengumuman itu dibuat ketika satu perhimpunan dalaman khas yang melibatkan hampir 1,000 kakitangan daripada pelbagai bahagian termasuk automotif, pembangunan kuasa, pembuatan, ujian dan kecerdasan buatan (AI). XPeng menyifatkan projek robot humanoid ini kini telah memasuki fasa akhir sebelum ia boleh dipasarkan secara komersial.

He Xiaopeng turut membuat perbandingan yang cukup signifikan. Beliau menyatakan bahawa kedudukan projek robot humanoid XPeng hari ini adalah sama seperti keadaan syarikat itu kira-kira lapan tahun lalu ketika sedang bersiap sedia melancarkan model EV pertama mereka, XPeng G3. Kenyataan tersebut memberi gambaran bahawa XPeng melihat robot humanoid sebagai perniagaan masa depan yang berpotensi menjadi sebesar perniagaan EV mereka hari ini.

Salah satu perkara yang membezakan robot IRON dengan banyak pesaing lain ialah tahap pembangunan dalaman yang dilakukan oleh XPeng sendiri. Hampir semua komponen utama robot tersebut dibangunkan secara dalaman, termasuklah cip pemprosesan AI, sistem operasi, sendi robot, tangan robot serta sistem kawalan utama.

XPeng juga merupakan satu-satunya syarikat robotik di China yang memiliki seni bina “full-stack” sepenuhnya dibangunkan secara dalaman. Ini bermakna hampir keseluruhan ekosistem perkakasan dan perisian robot tersebut berada di bawah kawalan syarikat tanpa terlalu bergantung kepada pembekal luar.

Dari segi spesifikasi, robot humanoid IRON boleh dianggap antara yang paling canggih pernah diperkenalkan oleh pengeluar automotif China. Robot ini mempunyai ketinggian sekitar 1.73 meter dan berat kira-kira 70 kilogram. Ia dilengkapi dengan lebih 60 sendi pergerakan serta lebih 200 darjah kebebasan pergerakan bagi membolehkan ia bergerak dengan lebih semula jadi sama seperti manusia.

Bukan itu sahaja, IRON turut dilengkapi dengan tulang belakang humanoid, otot biomimetik yang meniru pergerakan manusia serta kulit fleksibel yang membaluti keseluruhan badan. Pada bahagian kepala pula terdapat skrin 3D melengkung yang berfungsi sebagai antara muka interaksi. Setiap tangan robot ini juga mempunyai 22 darjah kebebasan pergerakan, membolehkannya melakukan tugasan yang memerlukan ketepatan dan koordinasi yang tinggi.

Walaupun ramai membayangkan robot humanoid seperti ini akan digunakan di rumah sebagai pembantu peribadi, XPeng mempunyai pendekatan yang sedikit berbeza. He Xiaopeng sebelum ini menjelaskan bahawa teknologi robot humanoid masih terlalu mahal untuk digunakan secara meluas di rumah. Pada masa yang sama, penggunaan di kilang juga belum cukup ekonomik kerana kos tenaga kerja di China masih berada pada tahap yang kompetitif.

Atas sebab itu, penggunaan awal robot IRON dijangka lebih tertumpu kepada persekitaran komersial seperti pusat pameran kenderaan, khidmat pelanggan, demonstrasi produk dan pelbagai tugas berkaitan interaksi dengan pengguna.

Bagi menyokong rancangan tersebut, XPeng turut memulakan pembinaan fasiliti pengeluaran robot humanoid di Guangzhou pada Februari lalu. Kilang khas itu dilaporkan mempunyai keluasan sekitar 110,000 meter persegi dan bakal menjadi pusat utama pengeluaran robot humanoid XPeng pada masa hadapan.

Robot humanoid sebenarnya hanyalah sebahagian daripada pelan AI yang jauh lebih besar sedang dibangunkan oleh XPeng. Selain IRON, syarikat itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan robotaxi tanpa pemandu dan juga kereta terbang.

Perkembangan ini membuktikan bahawa XPeng tidak lagi mahu dilihat sebagai pengeluar EV semata-mata. Sebaliknya syarikat itu sedang berusaha untuk berubah menjadi sebuah syarikat teknologi AI berskala penuh yang merangkumi kereta elektrik, robotaxi, kereta terbang dan robot humanoid.

Sekiranya semua perancangan berjalan lancar, tempoh antara 2026 hingga 2027 mungkin menjadi antara fasa paling penting dalam sejarah XPeng apabila ketiga-tiga projek futuristik tersebut mula memasuki fasa komersial secara serentak.

Google ads
Back to top button