Buletin

MAZDA MULAKAN RESTORASI MIATA GENERASI PERTAMA

Kebanyakan pengeluar jenama premium mempunyai cabang dalaman syarikat yang bertanggungjawab melakukan restorasi lengkap model-model klasik keluaran mereka selain membekalkan alat-alat ganti yang diperlukan. Sebagai contoh Ferrari, Lamborghini dan Mercedes mempunyai bahagian yang ditubuhkan khusus untuk tujuan tersebut. Kini Mazda menyertai aliran ini tetapi buat masa sekarang ianya khusus untuk satu model sahaja iaitu Mazda Miata.

Miata juga dikenali dengan nama MX-5 di Eropah dan Roadster di Jepun. Walaupun ada yang mengatakan ia tidak cukup klasik untuk menjalani proses restorasi, mereka harus ingat yang model pertama Miata diperkenalkan pada tahun 1989, itu sudah menghampiri tempoh tiga puluh tahun.

 

Berita tentang projek terbaru Mazda ini dilaporkan oleh Japanese Nostalgic Car. Proses permohonan untuk restorasi kini telah dibuka oleh pihak Mazda pada tahun ini tetapi proses sebenar akan bermula pada 2018.

BACA: MAZDA COSMO SPORT – 50 TAHUN TEKNOLOGI ENJIN ROTARY

Mazda menerangkan yang idea ini timbul bila para pemilik Miata generasi pertama menghubungi mereka yang mereka berminat untuk melakukan restorasi Miata generasi pertama dan meminta syarikat membantu mereka. Ini kerana mereka berminat untuk menggunakan roadster kecil tersebut selama mana mungkin.

Sebelum melakukan restorasi kepada kereta pemilik individu, Mazda melakukan proses restorasi ujian untuk kereta mereka sendiri. Selepas berpuas hati baharulah mereka akan menawarkan khidmat tersebut kepada pemilik di luar sana.

Selain dari proses restorasi, Mazda turut mengumumkan yang mereka akan turut mengeluarkan kembali alat-alat ganti untuk Miata generasi pertama. Antaranya ialah penutup bumbung baharu, tombol gear dan stereng kayu Nardi dan tayar corak asal keluaran Bridgestone. Alat-alat ganti lain akan ditambah kemudian berdasarkan permintaan.

Okey, itu semua berita baik buat pemilik Miata, yang tak bestnya pula ialah buat masa ini ianya hanya ditawarkan untuk pemilik Miata di Jepun sahaja. Ianya juga terhad kepada Miata generasi pertama. Tetapi jika program ini terbukti berjaya dan terdapat permintaan yang tinggi dari negara lain, tidak mustahil Mazda akan memperkenalkan program ini di seluruh dunia.

GALERI:

Google ads
Back to top button