Modifikasi

LAGENDA HONDA S2000, KERETA SPORTS JDM YANG BERJIWA AMERIKA

Bayangkan situasi di mana kau terbangun awal ketika sedang bercuti di hujung minggu. Nak lepak goyang kaki, dah selalu sangat. Takkan cuti-cuti pun nak buat benda yang sama.

Tanpa berlengah, kau terus bersiap dan capai kunci kereta di atas meja. Tau-tau dah terpacak di kaki Genting Highlanddengan kawan sekepala. Orang lain mula berdesup dengan jentera penuh kuda-kuda. Tapi kau sekadar bersantai, menyusuri liku jalan dengan sebuah roadster tanpa berbumbung!

Itu antara keseronokan yang boleh diperolehi sekiranya memiliki roadster seperti S2000 ini. Ia tidak perlu berusaha untuk menarik perhatian ramai memandangkan model ini, sudah memiliki keperibadian yang tersendiri.

BACA: ADAKAH HONDA AKAN HASILKAN S2000 BARU?

Tapi S2000 bukanlah sebuah kereta yang boleh dibeli oleh semua orang. Selain harganya yang masih melangit, jumlah yang boleh diperolehi juga agak terhad di sini.

LAGENDA BERMULA SELEPAS 50 TAHUN

S2000 wujud sempena sambutan ulang tahun ke-50 Honda pada tahun 1999. Walaupun pernah mengeluarkan roadster Siri S (S500 / S600 / S800) dan Beat suatu ketika dulu, S2000 kekal sebagai satu-satunya model roadster berprestasi tinggi yang pernah dihasilkan Honda.

Dengan rupa dan spesifikasi yang mendahului zaman, tidak hairanlah jika separuh dari jumlah pengeluarannya (66,000 dari 110,000) terjual di Amerika.

Irwan antara yang berpeluang, memiliki roadster yang sudah mencapai status cult ini. Ia dibeli bagi memenuhi impian dan hobinya yang suka bertukar kereta.

Bukan beli dan simpan berderet-deret. Tapi jenis beli, bikin, jual dan beli lain. Semua jenis kereta nak dicuba, sampai saya sendiri pun dah hilang kira. Lain macam sungguh hobi remaja bangka zaman sekarang…

Untuk kereta berstatus begini, proses naik taraf tak perlu dibuat secara berlebihan. Cukup dengan sedikit sentuhan di bahagian tertentu.

Antara yang boleh dikesan termasuklah bumper depan dengan splitter karbon fiber J’s Racing Type S, hood karbon fiber J’s Racing Type V, serta tambahan diffuser untuk skirting sisi dan bumper belakang.

Memandangkan unit softtop dan lampunya agak kusam, ia telah diganti baru menggunakan komponen dari model AP2.

Lupakan seketika tentang enjin siri H, B atau K, sebab kereta ini dibekalkan dengan enjin siri F yang sangat luar biasa.

Dengan kod pengenalan F20C, ia terkenal kerana sifatnya yang sangat galak dan boleh mencecah garisan merah dengan mudah. Walaupun hanya berkapasiti 2.0-liter, enjin aspirasi normal pacuan belakang ini, masih dinilai sebagai yang paling berkuasa dalam kelasnya.

Dengan kekuatan standard mencecah 247 kuasa kuda, hanya sedikit perubahan diperlukan untuk melonjak lagi kuasanya.

Sentuhan pertama melibatkan proses kemasukan udara yang dibantu kit penapis udara BMC. Campuran yang terbentuk dalam kebuk pembakaran, seterusnya diletuskan oleh pek koil Plasma Direct dari Okada Projects.

Sementara aspek pengurusan enjin, kini ditala menggunakan unit HKS F-Con V Pro. Hasil akhir dari proses pembakaran ini dikeluarkan menerusi manifold dan sistem ekzos J’s Racing.

Bagi mengagih kuasa ke roda belakang, sistem transmisi manual 6-kelajuan yang dibekalkan dilapik set klac ATS Carbon.

Untuk pengendalian lebih sempurna, S2000 direka dengan agihan berat yang cukup seimbang untuk depan dan belakang. Agihan 50/50 ini mampu dicapai kerana kedudukan enjinnya yang terletak betul-betul pada belakang axle depan.

Stereng kuasa pulak jenis Variable Gear-Ratio Steering (VGS), yang akan memberat ketika sedang memecut. Nak lagi melekat, sistem suspensi Irwan gantikan dengan set boleh laras jenis Tein Super Street, termasuk tambahan bar antiroll dari Cusco. Sementara ruang rodanya, diisi rim 17-inci Volk Racing CE28 bersama tayar bunga pelik Nitto NT05.

Roadster sememangnya sebuah kereta yang kedekut. Tiada tempat duduk belakang yang boleh ditumpang, waima yang depan tu pun langsung tak boleh nak baring santai. Biarpun tiada perubahan jelas pada ruang ini, terdapat beberapa perkara menarik yang boleh kita diperhatikan.

Antaranya meter paparan digital, stereng separa bulat dengan logo VGS, serta sepasang tempat duduk kulit berwarna merah. Pemain radio dibiarkan terlindung dalam sebuah ruang khas di bahagian tengah. Manakala komponen asing yang ditambah, hanyalah tombol gear titanium J’s Racing serta unit paparan informasi M7 Japan Touch Race.

Konfigurasi roadster mungkin kurang sesuai dengan iklim cuaca di sini. Memang pelik lah kalau panas buta pun nak bukak bumbung. Nak jadi udang kering? Tapi dalam situasi tertentu, ia mampu memberi keseronokan dan kepuasan yang tersendiri.

Dah tu, apa tunggu lagi? Jom repeat Genting…!

GALERI

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button