Buletin

MAZDA PERKENAL LOGO BAHARU – REKA BENTUK MINIMALIS DAN SESUAI UNTUK ERA DIGITAL

Mazda akhirnya memperkenalkan logo baharu mereka secara rasmi di Japan Mobility Show 2025, menandakan perubahan identiti korporat selepas hampir tiga dekad menggunakan rekaan lama.

Logo ini bukanlah perubahan besar, sebaliknya satu evolusi halus daripada simbol bersayap “M” yang mula digunakan sejak tahun 1997.

Menariknya, logo ini bukan kali pertama muncul. Model crossover EZ-60 yang dipasarkan di China sebelum ini sudah pun menggunakan versi baharu tersebut, menampilkan rekaan lebih nipis dan moden.

Mengikuti jejak langkah jenama seperti Volkswagen dan BMW, Mazda kini beralih kepada rekaan yang lebih rata dan ringkas, dengan fokus kepada kebolehgunaan dalam ruang digital.

Pendekatan minimalis ini dikatakan memberikan penampilan yang lebih tajam serta meningkatkan kejelasan apabila digunakan di platform atas talian. Walaupun masih mengekalkan elemen sayap, bentuknya kini lebih lembut dan kurang menonjol berbanding versi lama.

Selain simbol utama, Mazda turut memperkenalkan gaya tulisan baharu (wordmark) yang kini digunakan pada model terpilih.

Sebagai contoh, Mazda CX-5 2026 akan menampilkan tulisan “Mazda” pada pintu but dan stereng, sementara logo tradisional masih dikekalkan pada gril hadapan. Model seperti EZ-60 dan EZ-6 (atau 6e di pasaran tertentu) turut menggunakan gaya tulisan baharu ini.

Menurut Tamara Mlynarczyk, Pengurus Hal Ehwal Awam Mazda North American Operations, pelaksanaan logo baharu ini akan bermula di ruang digital sebelum diperluaskan ke model-model masa hadapan.

“Versi baharu ini dioptimumkan untuk meningkatkan keterlihatan dalam media digital. Kedua-dua versi lama dan baharu akan digunakan mengikut kesesuaian, termasuk dalam komunikasi kerjasama atau promosi bersama,” jelasnya.

Setakat ini, logo baharu tersebut sudah diterapkan pada model EZ-60 dan sebahagiannya pada CX-5 generasi baharu.

Mazda akan memperkenalkannya secara berperingkat pada model-model seterusnya, namun belum ada keputusan muktamad sama ada model sedia ada akan turut menerima perubahan tersebut.

Google ads
Back to top button