Buletin

MAZDA BT-50 KEKAL DIESEL, TOLAK TREND EV

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran trak pikap semakin dipenuhi pilihan elektrifikasi – sama ada sepenuhnya elektrik, hibrid plug-in (PHEV), mahupun mild-hybrid.

Namun, di sebalik trend tersebut, ada jenama yang masih percaya bahawa diesel kekal pilihan paling praktikal untuk tugas berat.

Mazda Australia baru-baru ini menegaskan pendiriannya untuk terus mempertahankan enjin diesel bagi BT-50, walaupun secara teori syarikat itu boleh sahaja memperkenalkan versi elektrik penuh hasil perkongsian platform dengan Isuzu D-Max.

Sebagai rujukan, Isuzu D-Max EV yang dilancarkan tidak lama dulu menawarkan kuasa 188hp daripada dwi motor elektrik, dengan jarak pemanduan 263km (WLTP) hasil bateri 66.9kWh. Namun, harga jualannya jauh lebih tinggi berbanding versi diesel.

Pengarah Urusan Mazda Australia, Vinesh Bhindi, ketika ditanya mengenai kemungkinan BT-50 EV, menjelaskan:

“Saya tidak fikir kami akan memperkenalkan ute (trak pikap) EV dalam masa terdekat. Tetapi jika pasaran menunjukkan ada ruang dan permintaan, barulah Mazda akan mempertimbangkan opsyen tersebut.”

Pasaran sebenarnya sedang berubah. Ford Ranger, BYD Shark dan GWM Cannon Alpha sudah pun menawarkan teknologi PHEV, manakala Nissan Navara serta Mitsubishi Triton generasi baharu dijangka mengikuti langkah sama.

Namun, Bhindi tetap berpendapat bahawa teknologi tersebut bukanlah ancaman.

“Diesel dalam ute masih relevan. Saya tidak nampak masa depan di mana satu-satunya pilihan ialah PHEV atau EV. Diesel masih masuk akal, malah dari segi piawaian kecekapan NVES, enjin diesel masih lebih baik dalam pelepasan CO₂ berbanding yang lain.”

Ini bermakna, dalam masa terdekat, Mazda BT-50 hampir pasti tidak akan mendapat versi sifar emisi. Namun, pilihan elektrifikasi ringan seperti mild-hybrid diesel, sebagaimana yang diperkenalkan Toyota Hilux masih ada kemungkinan, kerana ia mengekalkan kelebihan diesel sambil menurunkan penggunaan bahan api serta emisi.

Google ads
Back to top button