Buletin

MAZDA CX-60 KINI DI MALAYSIA. 2.5L NA, CBU JEPUN, RM200K

Bermaz Motor secara rasmi memperkenalkan Mazda CX-60, model pertama dalam kumpulan produk “Large Product” Mazda yang menandakan era baharu bagi jenama tersebut. SUV ini direka untuk mereka yang mengutamakan prestasi pemanduan premium, keselamatan tinggi dan gaya mewah, sekaligus mengangkat standard baharu dalam segmennya.

SUV flagship terkini Mazda itu direka di bawah konsep “Noble Toughness” yang menggabungkan kekuatan, kepintaran dan kemewahan melalui falsafah reka bentuk Kodo – “Soul of Motion”. Falsafah ini menampilkan konsep “Ma” iaitu keindahan ruang yang tenang dan harmoni, disepadukan dengan bentuk badan yang dinamik.

Mazda CX-60 menampilkan siluet badan dan bahagian hadapan yang maskulin. Gril depan direka dengan kemasan piano black, manakala lampu utama turut direka semula dengan susunan menegak dan lampu signatur berbentuk-L. Bahagian belakang pula tampil lebih ringkas, namun tetap elegan.

Bahagian dalam CX-60 mengekalkan rekaan papan pemuka lebar yang selari ke arah pintu, sementara konsol tengah direka untuk mempamerkan struktur longitudinal enjin. Rekaan ini bukan sahaja berfungsi, malah menonjolkan kemasan premium berinspirasikan seni pertukangan Jepun.

Mazda menggabungkan material semula jadi dan teknik tradisional dengan teknologi moden, menghasilkan tekstur unik yang memaparkan kemewahan tulen. Selain itu, kabin dilengkapi dengan sistem paparan moden yang merangkumi:

  • Paparan multi-informasi 12.3 inci
  • Active Driving Display (HUD)
  • Skrin infotainmen 12.3 inci dengan arahan suara

Ciri inovatif Driver Personalization System turut diperkenalkan. Ia mampu mengenal pasti pemandu secara automatik dan melaras lebih 250 tetapan termasuk kedudukan kerusi, stereng, cermin sisi dan paparan HUD mengikut profil yang disimpan.

Sistem infotainmen lengkap dengan Apple CarPlay, Android Auto, pengecas tanpa wayar dan kamera 360° dengan fungsi See-Through View untuk pandangan menyeluruh ketika memarkir. Turut disediakan sistem audio premium BOSE 12 pembesar suara untuk pengalaman hiburan terbaik.

Mazda CX-60 dikuasakan oleh enjin 2.5L empat silinder aspirasi biasa (NA) yang dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan, menghasilkan 189hp dan 261Nm tork. Platform Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture membolehkan model ini bersedia untuk teknologi elektrifikasi masa depan.

Falsafah Jinba-Ittai diserlahkan menerusi ciri Kinematic Posture Control (KPC) yang mengoptimumkan kestabilan badan kenderaan semasa mengambil selekoh, manakala sistem suspensi belakang mengurangkan daya angkat semasa membrek.

SUV itu mencatat penarafan lima bintang Euro NCAP pada tahun 2022, membuktikan keupayannya dalam melindungi penumpang dewasa, kanak-kanak, pengguna jalan raya dan prestasi sistem bantuan pemandu.

Ciri keselamatan aktif dan pasif merangkumi rangkaian i-Activsense seperti:

  • Adaptive LED Headlamps (ALH)
  • Blind Spot Monitoring (BSM)
  • Front & Rear Smart Brake Support (SBS)
  • Mazda Radar Cruise Control (MRCC) dengan Stop & Go
  • Lane Departure Warning & Lane Keep Assist
  • Driver Monitoring & Attention Alert

Mazda CX-60 ditawarkan dalam beberapa warna menarik termasuklah merah, putih, hitam, platinum quartz dan hijau (zircon sand). 

Diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, CX-60 ditawarkan pada harga bermula RM198,900 (atas jalan tanpa insurans).

Setiap pembelian disertakan dengan jaminan pengeluar 5 selama tahun dan Program Penyelenggaraan Percuma 5 tahun, meliputi kos buruh, alat ganti dan pelincir untuk tempoh lima tahun atau 100,000 km, yang mana dahulu.

Mazda CX-60 kini boleh ditempah di semua pengedar sah Mazda seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, layari www.mazda.com.my.

GALERI

Google ads
Back to top button