BuletinMotosikal

MENJELANG CUBPRIX TERENGGANU, HARITH SEDIA PAMER AKSI TERBAIK

Pelumba rookie CP150, Mohd Harith Farhan baharin berpeluang untuk mempamerkan aksi terbaiknya musim ini apabila bakal turun beraksi di negeri kelahirannya pada Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Kuala Terengganu, Terengganu, 4 dan 5 Oktober ini.

Harith yang membawa cabaran Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing beralih ke saingan kelas perdana buat pertama kali pada musim ini bersama Azroy Hakeem Anuar yang juga merupakan seorang lagi pelumba rookie CP150 dan Amirul Ariff Musa.

Selepas enam pusingan, juara WIRA 2015 itu kini menghuni tangga ke-21 keseluruhan dengan mengumpul lapan mata manakala Azroy di tangga ke-14 dengan 25 mata.

“Saingan musim ini sangat sukar untuk saya. Jentera CP150 agak berbeza jika dibandingkan dengan jentera CP115 yang digunakan musim lepas. Namun begitu, saya akan terus belajar dan mencari jalan untuk menyesuaikan diri dan mengoptimumkan keupayaan jentera saya,” jelas Harith.

Tambahnya, “Beraksi di halaman sendiri minggu ini pasti memberi sedikit kelebihan kepada saya. Tambahan pula saya juga adakalanya menjalani latihan bersendirian di kawasan litar ini. Saya berharap dapat menambah pungutan mata dan memperbaiki kedudukan saya.”

Selepas enam pusingan, tangga teratas keseluruhan diterajui oleh Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha –CKJ Racing) dengan 135 mata diikuti juara bertahan, Kasma Daniel kasmayuddin (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) dengan 95 mata.

Google ads
Back to top button