Buletin

KIMI BUAT MAGIK, DARI P19 KE P1 GP ITALY

Kimi Antonelli menjukkan salah satu aksi paling menakjubkan dalam kariernya apabila pemandu 20 tahun Mercedes itu bangkit daripada kedudukan ke-19 untuk memenangi GP Itali 2026 di Litar Monza, sekali gus mencetuskan sambutan luar biasa di hadapan penyokong tuan rumah.

Antonelli memulakan perlumbaan dari P19 selepas dikenakan penalti penukaran unit kuasa manakala rakan sepasukannya, George Russell bermula dari barisan hadapan.Walaupun kemenangan pada mulanya kelihatan seperti sangat sukar untuk dicapai, namun Antonelli menunjukkan bakat luar biasa sejak awal perlumbaan untuk memotong satu demi satu pencabarnya.

Pemandu Itali itu tidak mengambil masa lama untuk masuk ke kelompok hadapan terutama selepas Charles Lerclec terbabas. Selepas beberapa pusingan, Antonelli sudah berada dalam persaingan podium dan kemudiannya berjaya memintas Max Verstappen sebelum memburu Russell di hadapan. Pada pusingan ke 18, Antonelli akhirnya mengambil alih kedudukan pertama daripada rakan sepasukannya.

Tetapi kemenangan itu masih jauh daripada selamat. Mercedes memilih strategi berbeza untuk dua pelumbanya apabila Virtual Safety Car (VSC) muncul di pertengahan perlumbaan. Antonelli masuk ke pit untuk mendapatkan tayar medium baharu, manakala Russell memilih untuk kekal di litar dengan tayar hard yang sudah digunakan.

Keputusan tersebut pada mulanya memberikan Russell kelebihan kerana dia kekal di hadapan, sementara Antonelli terpaksa turun semula dalam kelompok pelumba. Namun, tayar keras sederhana yang baharu memberikan Antonelli kelebihan yang besar pada fasa akhir perlumbaan dan dia mula mengejar Russell dengan pantas.

Antonelli kemudiannya terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan semula kedudukan pertama. Ketika cuba menyerang Russell, dia sempat terbabas ke kawasan gravel tetapi berjaya mengawal semula jentera Mercedes dan meneruskan perlumbaan tanpa kehilangan peluang untuk menang.

Dengan beberapa pusingan terakhir semakin hampir, Antonelli terus memberikan tekanan kepada Russell yang semakin bergelut dengan tayar yang sudah haus. Akhirnya pada Lap 50, Antonelli melakukan serangan penentu untuk memintas Russell dan kembali ke kedudukan pertama. Kali ini dia tidak lagi melepaskan peluang tersebut sehingga melintasi garisan penamat.

Antonelli menamatkan perlumbaan dengan kemenangan, manakala Russell berada di tempat kedua dengan jarak 3.857 saat. Max Verstappen pula melengkapkan podium di tempat ketiga, diikuti Lando Norris dan Oscar Piastri masing-masing di tempat keempat dan kelima.

Kemenangan ini menjadi lebih istimewa kerana Antonelli bukan sahaja berjaya bangkit daripada P19 ke P1, malah dia melakukannya di perlumbaan negaranya sendiri. Pemandu berusia 20 tahun itu menjadi pelumba Itali pertama memenangi GP Itali di Monza sejak Ludovico Scarfiotti melakukannya pada 1966, sekali gus menamatkan penantian selama 60 tahun.

Apa yang penting kemenangan Antonelli turut memberikan kesan besar kepada perebutan kejuaraan dunia. Dia memasuki GP Itali dengan kelebihan 59 mata ke atas Russell, namun selepas memenangi perlumbaan sementara Russell hanya menamatkan saingan di tempat kedua, kelebihan tersebut meningkat kepada 66 mata selepas 13 perlumbaan.

Apa yang menjadikan kemenangan Antonelli begitu menarik bukan semata-mata kerana dia bermula dari P19. Dia memandu jentera Mercedes sama seperti Russel, melakukan banyak overtaking dan pada masa sama mengatasi strategi berbeza yang digunakan oleh pasukannya sendiri. Kelebihan tayar keras sederhana baharu pada penghujung perlumbaan memang memainkan peranan penting, tetapi Antonelli tetap perlu menukar kelebihan tersebut kepada kemenangan dengan memintas Russell di atas litar.

GP Itali 2026 akhirnya menjadi perlumbaan yang mengukuhkan lagi status Antonelli sebagai antara bintang baharu dalam Formula 1. Biarpun bermula dari hampir penghujung grid dan berakhir di tempat pertama di hadapan ribuan penyokong Itali, Antonelli bukan sekadar memenangi perlumbaan di Monza dia menghasilkan satu daripada aksi recovery drive paling sensasi musim ini.

Google ads
Back to top button