
MITSUBISHI EK X DAN EK WAGON 2025 JEPUN: PERUBAHAN KECIL, DARI RM42 RIBU
Mitsubishi Motors Corporation memperkenalkan eK Cross dan eK Wagon dengan beberapa perubahan untuk pelanggan di Jepun dengan penjualan akan bermula pada 24 Julai.
Perubahan yang dibuat termasuk pematuhan kepada peraturan baharu dan beberapa pembaharuan kosmetik.
Salah satu perubahan utama adalah pematuhan sistem brek mitigasi pelanggaran hadapan (FCM) kepada peraturan baharu, melibatkan pengubahsuaian dan penambahan paparan amaran serta kawalan lampu amaran.
Selain itu, eK Cross tampil dengan pilihan warna badan baharu iaitu Natural Ivory Metallic dan kini memiliki sebanyak 10 warna, terdiri daripada lima warna tunggal dan lima warna dua tona.
Perbezaan Utama Antara Mitsubishi eK Cross dan eK Wagon
Walaupun berkongsi banyak persamaan, eK Cross dan eK Wagon mempunyai beberapa perbezaan dari segi dimensi dan pilihan rangkaian kuasa.
Dimensi dan Berat Kenderaan
Kedua-dua model berkongsi panjang 3395 milimeter (mm,) lebar 1475 mm, jarak roda 2495 mm dan kelegaan bumi minimum 155 mm
Radius pusingan minimum untuk kedua-dua model adalah 4.5 meter.
Namun, terdapat perbezaan pada tinggi keseluruhan dan berat kenderaan. eK Wagon mempunyai tinggi keseluruhan 1650 mm untuk pacuan 2WD dan 1670 mm untuk pacuan 4WD.
Sementara itu, eK X mempunyai tinggi keseluruhan 1650 mm (standard) dan 1670 mm (untuk 4WD), dengan penambahan rel bumbung pilihan pengeluar, tinggi boleh mencapai 1665 mm atau 1685 mm.
Dari segi berat, eK Wagon lebih ringan, bermula dari 840 kg untuk 2WD dan 900 kg untuk 4WD. eK Cross pula lebih berat, bermula dari 860 kg (varian G 2WD) sehingga 940 kg (varian T 4WD).
eK Wagon dilengkapi tayar bersaiz 155/65R14, manakala eK Cross menggunakan tayar yang lebih besar iaitu 165/55R15.
Pilihan Rangkaian Kuasa
Kedua-dua model dilengkapi enjin 660cc DOHC 12-injap 3-silinder yang dipadan bersama transmisi CVT.
Perbezaan ketara terletak pada pilihan enjin dan sistem hibrid. eK Wagon hanya didatangkan dengan enjin BR06 DOHC 12-injap 3-silinder.
Enjin ini memiliki kuasa maksimum 52 ps pada 6400 rpm dan tork 60Nm pada 3600 rpm. Nisbah mampatan enjin adalah 12.0.
eK X, di samping enjin yang sama seperti eK Wagon (dengan spesifikasi kuasa dan tork yang sama), turut menawarkan varian dengan enjin turbo.
Varian ini menghasilkan kuasa lebih tinggi iaitu 64 ps pada 5600 rpm dan tork 100Nm pada 2400-4000 rpm. Nisbah mampatan untuk varian turbo ini adalah 9.2.
Selain itu, eK X juga menawarkan sistem hibrid dengan motor elektrik SM21 (motor elektrik segerak AC) yang menjana kuasa 2.0 kilowatt [2.7 ps] pada 1200 rpm dan tork 40Nm pada 100 rpm.
Harga
Penambahbaikan ini memastikan eK Cross dan eK Wagon terus menawarkan pilihan yang relevan dan mematuhi piawaian terkini untuk pengguna yang mencari kenderaan ringan yang praktikal dan efisien.
Harga runcit untuk eK Cross di antara 1,743,500 yen (RM 49,977.73) hingga 2,106,500 yen (RM 60,394.02).
Manakala, eK Wagon ditawarkan pada harga 1,468,500 yen (RM 42,049.27) hingga 1,683,000 yen (RM 48,206.14).