
PIKAP RALI MITSUBISHI TRITON UNTUK AXCR 2025!
Pasukan Mitsubishi Ralliart sekali lagi bakal berentap di dalam Asia Cross Country Rally (AXCR) dan tidak lain tidak bukan menggunakan pikap Triton.
AXCR 2025 akan berlangsung pada Ogos ini di Thailand dan Kemboja.
Edisi 2024 sepatutnya merangkumi Malaysia namun dibatalkan akibat isu keselamatan di Thailand dan nampaknya sekali lagi tidak berlangsung di dalam negara.
Pikap Triton AXCR 2025 dengan spesifikasi T1 tampil dengan grafik baharu. Mitsubishi tidak berkongsi butiran kecuali memaklumkan enjin telah dipertingkatkan dari segi ketahanan serta pelbagai penambahbaikan lain.
Selepas kemarau pada 2023 dan 2024, Pasukan Mitsubishi Ralliart berazam untuk merampas kembali gelaran juara yang kali terakhir mereka menangi pada tahun 2022.
Pada AXCR 2023, pasukan memperolehi tempat ketiga dan Anugerah Pasukan.
Pada AXCR 2024, Pasukan Mitsubishi Ralliart bertanding dengan empat buah Triton.
Pemandu pasukan, Chayapon Yotha (Thailand), mendahului keseluruhan perlumbaan pada Leg 4, dan berjaya mendahului dengan masa lebih 20 minit berbanding pesaing di tempat kedua.
Malangnya, Yotha terpaksa menarik diri akibat masalah enjin. Pasukan Mitsubishi Ralliart akhirnya menamatkan perlumbaan dengan kedudukan terbaik di tempat kelima menerusi Katsuhiko Taguchi.
Penampilan Baharu Triton 2025
Pikap rali Triton AXCR 2025 diperkenalkan dengan grafik baharu yang mencerminkan identiti Pasukan Mitsubishi Ralliart melalui warna merah.
Reka bentuk grafik digital berbentuk ribut pasir menghiasi bahagian hadapan hingga ke tengah sisi badan, melambangkan debu yang terhasil semasa perlumbaan.
Logo Ralliart turut dipaparkan di bahagian sisi sebagai simbol penglibatan Mitsubishi Motors dalam sukan permotoran.
Triton yang akan bertanding tahun ini telah disiapkan sepenuhnya untuk menghadapi cabaran lebih sengit, dengan enjin yang lebih tahan lasak serta peningkatan pada casis dan komponen lain untuk prestasi yang lebih optimum.
AXCR 2025: Lebih Jauh dan Lama!
AXCR sebelum ini merupakan perlumbaan enam hari dengan jarak sekitar 2,000 kilometer (km), namun bagi ulang tahun ke-30 pada 2025, tempohnya akan dipanjangkan kepada lapan hari dengan jarak sejauh kira-kira 2,500 km.
AXCR merupakan perlumbaan rentas negara terbesar di rantau ASEAN. Edisi ke-30 tahun ini akan meliputi laluan merentasi Thailand dan Kemboja.
Perlumbaan akan dimulakan secara rasmi pada 8 Ogos di Pattaya dan perlumbaan sebenar bermula pada 9 Ogos, menuju ke utara ke Nakhon Ratchasima dan ke Chanthaburi.
Pada 14 Ogos, pelumba akan memasuki Kemboja dan menamatkan perlumbaan di Phnom Penh pada 16 Ogos.
Jarak perlumbaan tahun ini telah ditambah sebanyak 500 km berbanding tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan sekitar 2,500 km.
Laluan perlumbaan merangkumi pelbagai permukaan termasuk kawasan pergunungan, hutan tebal, dan sungai, yang memerlukan bukan sahaja keupayaan kawalan pemanduan tinggi tetapi juga ketahanan kenderaan yang luar biasa.
Prestasi Mitsubishi Ralliart dalam AXCR
- AXCR 2022: Juara Keseluruhan
- AXCR 2023: Tempat Ketiga & Anugerah Pasukan
- AXCR 2024: Tempat Kelima Terbaik
Mitsubishi Triton AXCR 2025









Mitsubishi Triton AXCR 2024





Mitsubishi Triton AXCR 2023
















