
MITSUBISHI GRANDIS SUV DIPERKENAL DI EROPAH – KINI DENGAN KUASA HIBRID
Mitsubishi menghidupkan semula nama Grandis untuk pasaran Eropah dengan pelancaran sebuah SUV kompak serba baharu.
Dihasilkan di kilang Renault di Valladolid, Sepanyol, model ini dibina atas platform CMF-B dan merupakan kenderaan ketiga hasil kerjasama Mitsubishi-Renault selepas ASX dan Colt.
Grandis generasi baharu ditawarkan dengan dua pilihan sistem janaan kuasa: hibrid ringan (MHEV) dan hibrid elektrik penuh (HEV).

Varian MHEV dikuasakan enjin turbo petrol 1.3 liter berkuasa 103kW, digandingkan dengan transmisi manual 6-kelajuan atau automatik dwi-klac 7-kelajuan.
Manakala versi HEV menggabungkan enjin 1.8 liter aspirasi natural dengan dua motor elektrik serta transmisi pelbagai mod, menghasilkan kuasa keseluruhan 115kW. Ciri seperti pembrekan regeneratif dan pilihan mod EV, Hibrid dan E-Save turut disediakan.
Rekaan luaran menampilkan identiti Dynamic Shield yang menjadi ciri khas Mitsubishi, rim aloi 19-inci dan rekaan belakang Sculptural Hexagon. Di dalam, kabin lima tempat duduk yang luas disediakan, bersama ruang barangan yang boleh dikembangkan hingga 1,455 liter.

Ciri-ciri seperti pintu tailgate kuasa bebas tangan dan bumbung suria panoramik elektrokromik menambah kemewahan pengalaman pengguna.
Dari segi teknologi, sistem infotainmen 10.4-inci hadir dengan sokongan Google terbina dalam termasuk Google Assistant, Maps dan akses ke Play Store. Sambungan Apple CarPlay dan Android Auto turut tersedia.
Selain itu, beberapa mod pemanduan seperti Eco, Comfort, Sport dan Perso membolehkan pemandu menyesuaikan pengalaman mengikut citarasa.

Aspek keselamatan dilengkapkan dengan ciri ADAS penuh, termasuk kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta dan amaran lintasan trafik belakang.
Dengan gabungan teknologi pintar, ruang praktikal dan kecekapan hibrid, Grandis 2025 menyasarkan pengguna keluarga dan pembeli yang mementingkan alam sekitar di seluruh Eropah.
- BACA: DENGARKAN BUNYI EKZOS SPORT TITANIUM AKRAPOVIČ UNTUK BENTLEY!
- BACA: POLIS KESAN PEMILIK TIGA KERETA HALANG LALUAN DI LEBUH RAYA
- BACA: MERCEDES-BENZ EQV 300 2025 DILANCARKAN DI MALAYSIA – JARAK GERAK 374KM WLTP, HARGA BERMULA RM450K
- BACA: MAZDA CX-5 GENERASI BAHARU DILANCARKAN 10 JULAI INI – TAMPIL DENGAN SENTUHAN MODEN, PILIHAN HIBRID