Buletin

MAZDA CX-5 GENERASI BAHARU DILANCARKAN 10 JULAI INI – TAMPIL DENGAN SENTUHAN MODEN, PILIHAN HIBRID

Mazda mengesahkan bahawa model generasi baharu CX-5 akan dilancarkan secara rasmi pada 10 Julai ini.

Bersama pengumuman itu, jenama dari Hiroshima itu turut menyiarkan beberapa imej acah rasmi, memberi gambaran awal tentang rupa luarannya yang telah diperhalusi serta kabin lebih lapang dengan teknologi baharu.

Rekaan keseluruhan nampaknya masih mengekalkan bentuk asas CX-5 yang dikenali ramai, namun dengan sentuhan lebih moden dan tajam — termasuk rekaan lampu hadapan yang kini bersambung ke gril seperti pada model prototaip baharu.

Gril ikonik Mazda kekal digunakan, tetapi dengan corak baharu dan perincian krom yang lebih nipis, sementara bahagian bampar tampil kemas dan lebih menonjol.

Sekilas pandang, model ini tidak cuba meniru SUV bersaiz lebih besar seperti CX-60 atau CX-90, dan juga tidak kelihatan seperti “adik kembar” kepada CX-50. Sebaliknya, ia mengekalkan identiti CX-5, namun dalam bentuk yang diperbaharui dan lebih matang.

Bahagian dalam pula dijangka mengalami lonjakan dari segi kualiti dan teknologi. Kemungkinan besar Mazda akan mengadaptasi pendekatan reka bentuk serta kemasan premium seperti yang dilihat pada CX-90, bersama paparan infotainmen lebih besar dan susun atur lebih ringkas.

Satu lagi peningkatan besar ialah pengenalan varian hibrid, pertama kali untuk barisan CX-5, yang akan menggunakan sistem hibrid tanpa pengecas luaran (self-charging hybrid) hasil pembangunan dalaman Mazda.

Bagaimanapun, enjin SkyActiv-Z generasi baharu yang dijangka memberi kecekapan bahan api lebih baik hanya akan diperkenalkan sekitar tahun 2027. Ini bermakna varian hibrid awal mungkin menggunakan rangkaian kuasa sedia ada sebelum beralih kepada enjin baharu itu kelak.

Model semasa CX-5 mula dipasarkan pada penghujung 2016, jadi kemunculan generasi baharu ini sememangnya dinanti-nantikan.

Ia dijangka dipasarkan sebagai model tahun 2026 di pasaran utama seperti Amerika Syarikat, serta bakal bersaing rapat dengan Toyota RAV4, Honda CR-V dan Subaru Forester.

Google ads
Back to top button