Artikel PilihanBuletin

INI SENARAI KERETA JEPUN TETAPI BUKAN REKAAN WARGA JEPUN

Industri automotif sebenarnya sudah berusia lebih dari seratus tahun. Sudah terpahat dalam sejarah ia bermula di negara barat dan kemudian dipelajari oleh negara Jepun.

Industri automotif terbantut seketika semasa perang dunia dan mula rancak apabila perjanjian keamanan dimeterai. Banyak negara hancur akibat peperangan ini tidak kira di Eropah mahu pun di Asia.

Negara Jepun yang sebelum itu begitu asyik dengan perang cuba bangkit semula. Kehidupan perlu diteruskan, ekonomi perlu digerakkan.

Salah satu bidang yang giat diceburi Jepun ialah industri automotif sama ada dua atau empat roda. Tetapi hendak bermula dari mana?

Syarikat Jepun seperti Toyota dan Honda banyak belajar dari barat kerana mereka mempunyai kepakaran, pengalaman serta ekosistem pembuatan.

Identiti kereta Jepun pada waktu itu masih tidak jelas sehinggalah mereka memulakan program eksport ke Amerika Syarikat. Cubaan kali pertama tidak berjaya dan seperti biasa menjadi modal jenaka.

Apa yang mereka buat? Upah sahaja firma reka bentuk terkenal seperti Giugiaro dan Pininfarina. Ini adalah gelombang pertama syarikat Asia mendapatkan khidmat reka bentuk firma Eropah.

Berikut kami senaraikan tiga model kereta Jepun tetapi direka oleh warga luar:

1. Mitsubishi Grandis

MPV tujuh tempat ini dilancarkan pada tahun 2003 dan dipasarkan di banyak buah negara dari Asia hingga Amerika Selatan. Kami berani kata, walaupun sudah berusia 18 tahun rekaan MPV ini masih segar sehingga sekarang.

Grandis direka oleh Olivier Boulay dalam era Mitsubishi di bawah DaimlerChrysler. Boulay dilantik ke jawatan Ketua Jabatan Reka Bentuk Mitsubishi pada tahun 2001.

Boulay bukan calang-calang orang, beliau sebelum itu bertanggung jawab dalam beberapa rekaan seperti S-Class dan C-Class. Beliau juga pernah bekerja di Jepun sebelum bersama dengan Mitsubishi. Rekaan pertama kereta Jepun Boulay ialah Subaru Legacy generasi kedua.

Selain Grandis, ada beberapa lagi model Mitsubishi yang membawa tema sama atau dikenali sebagai Boulay face. Di antaranya ialah Colt dan Lancer.

Selepas era Mitsubishi di bawah DaimlerChrysler tamat, Boulay meneruskan kerja di studio Daimler di Jepun dan turut dilantik sebagai Profesor di Universiti Keio pada 2009. Pada Julai 2011 beliau dilantik ke jawatan Naib Presiden Pusat Reka Bentuk Termaju Mercedes-Benz di China.

2. SUBARU R1

Ini sebuah lagi model yang tak lekang dek masa. Percaya atau tidak Subaru R1 pada tahun 2005. Kereta ini macam biasa tergolong dalam kategori Kei Car bagi meraih manfaat cukai dan mampu milik.

Subaru R1 ini dlengkapi dengan tiga varian enjin 658 cc iaitu I, R dan paling berkuasa STI 63 hp yang dijana oleh supercaj.

Jika ada yang bertanya kenapa kereta Subaru sekarang dipadankan dengan transmisi CVT, jawabnya ialah R1 ini terlebih dahulu menggunakan teknologi tersebut.

Seperti Grandis, kereta futuristik ini direka oleh bukan calang-calang individu iaitu Andreas Zapatinas. Beliau berkhidmat dengan Fiat dari 1988 hingga 1994 dan di situlah bertemu dengan seorang lagi pereka ikonik iaitu Chris Bangle.

Di antara hasil tangan Zapatinas ialah Fiat Barchetta, Fiat Coupé dan Alfa Romeo 145 dan 147. Pada 2002 beliau menyertai Subaru sebagai Ketua Reka Bentuk Termaju.

Zapatina kemudian pada 2009 berkhidmat dengan KLEEMANN Lifts mereka bentuk kabin lif dan pintu. Terbaru pada 2016, beliau menyertai syarikat automotif China, Changan di ibu pejabat reka bentuk yang terletak di Turin, Itali.

3. Toyota Yaris/Vits (XP10)

Toyota Yaris adalah kereta yang comel sejak dari generasi pertama lagi. Walaupun Yaris kini mempunyai dua identiti berbeza iaitu untuk pasaran Asean dan Eropah ia tetap berjaya menambat ramai hati pengguna.

Yaris mula diperkenalkan pada tahun 1998 dan ciri-cirinya berjaya menambat hati juri dalam memenangi Anugerah Kereta Tahunan Jepun 1998.

Dari awal Toyota sudah merancang Yaris untuk memasuki pasaran global dengan penampilan perdana di buat pada Pameran Kenderaan Geneva 1998.

Yaris XP10 direka oleh Sotiris Kovos dan layak untuk diangkat sebagai bapa Yaris. Tidak banyak yang diketahui tentang latar belakang kerjaya Kovos selain berkhidmat dengan Toyota dan kemudian terlibat dalam reka bentuk Lexus SCC 430.

Pada 2002 beliau dikatakan berkhidmat dengan syarikat motosikal Nipponia di Greece yang juga tempat kelahirannya.

Di awal tadi kami ada ceritakan tentang gelombang pertama reka bentuk kereta Asia. Gelombang kedua ialah apabila syarikat dari Korea Selatan pula mendapatkan khidmat firma luar negara dan gelombang ketiga apabila syarikat dari China mencari rentak yang sama.

Corak mengambil pereka luar untuk bekerja juga sama. Mula-mula Jepun, kemudian Korea Selatan dan kini China.

Menarik bukan pergerakan dunia automotif?

BACA: ORANG JEPUN PUN TAK SUKA KERETA AMERIKA- KECUALI SATU JENAMA INI

BACA: KERETA MENARIK YANG PERNAH DIBUAT OLEH JEPUN (TAPI TAK DIKENALI DUNIA)

Google ads
Back to top button