Buletin

DENGARKAN BUNYI EKZOS SPORT TITANIUM AKRAPOVIČ UNTUK BENTLEY!

Bentley bekerjasama dengan Akrapovič, pakar terkemuka dalam sistem ekzos berprestasi tinggi.

Hasilnya? Ekzos Sport Titanium kini boleh didapati untuk model-model Continental GT, Continental GT Convertible, dan Flying Spur terbaru.

Ekzos baharu ini bukan saja direka untuk melengkapkan prestasi luar biasa malah menawarkan runut bunyi yang lebih mengujakan dan yang paling penting, mampu mengurangkan berat kereta.

Bunyi Hebat dan Pengurangan Berat

Ekzos Sport Titanium Akrapovič ini dihasilkan dengan penuh ketelitian, menggunakan gabungan titanium berkualiti tinggi dan aloi super khas.

Reka bentuk ini memastikan ekzos sangat tahan lasak, aliran gas ekzos yang optimum, dan rintangan haba yang tinggi.

Ia juga menyumbang kepada pengurangan berat keseluruhan kereta.

Berbanding sistem ekzos standard, penggunaan ekzos Akrapovič boleh mengurangkan berat sehingga 10 kilogram (kg) yang membantu dinamik pemanduan menjadi lebih responsif.

Salah satu tarikan utama ekzos ini adalah alunan bunyi yang lebih mengujakan.

Nada ekzos yang lebih dalam, sporti, dan bertenaga direka untuk menyerlahkan lagi karakter model-model Bentley Continental GT, GT Convertible, dan Flying Spur.

Apabila mod SPORT dipilih, injap pintasan yang dikawal secara elektronik akan terbuka pada setiap peredam bunyi belakang.

Ini menghasilkan deruman garau yang mengujakan ketika memecut laju, dan bunyi ‘burbles’ tersendiri apabila pedal minyak dilepaskan.

Semasa pemanduan dinamik, alunan bunyi akan bertukar dengan lancar mengikut putaran enjin.

Ia beralih daripada ngauman V8 yang mantap kepada bunyi frekuensi tinggi yang lancar pada putaran enjin yang lebih tinggi.

Bunyi istimewa ini adalah buah tangan kerjasama jurutera Bentley dan Akrapovič, yang membuktikan proses reka bentuk dan pembinaan setiap komponen dibuat dengan sangat teliti.

Ekzos ini peka kepada beban enjin, memberikan maklum balas bunyi yang tepat kepada pemandu. Hasilnya, pemanduan terasa lebih mendalam dan menarik.

Bergaya dan Tahan Lasak

Dari segi reka bentuk, ekzos ini bukan saja mementingkan prestasi, malah penampilan yang anggun dan ketahanan.

Kemasan luaran titanium kusam melalui proses semburan pasir (sand blast) dan salutan khas untuk permukaan seragam, meningkatkan ketahanan dan memberikan rintangan calar yang lebih baik.

Empat muncung ekzos yang keluar dari belakang memaparkan logo Bentley dan Akrapovič.

Boleh Pasang Pada Model Sedia Ada

Ekzos Sport Titanium daripada Akrapovič ini kini tersedia untuk semua model dalam siri Bentley Continental GT, Continental GT Convertible, dan Flying Spur.

Ini termasuk model yang dikuasakan rangkaian kuasa High Performance Hybrid mahupun Ultra Performance Hybrid yang terdapat pada model Speed.

Ekzos ini boleh didapati sebagai pilihan tambahan berbayar semasa proses menempah Bentley baharu.

Selain itu, ia juga ditawarkan secara pemasangan semula (retrofit) bagi semua model generasi keempat sedia ada melalui rangkaian pengedar sah Bentley.

Ini bermakna, pemilik Bentley masih berpeluang menaik taraf kereta mereka dengan peningkatan prestasi dan kualiti bunyi premium ini.

Google ads
Back to top button