
MITSUBISHI GRANDIS KEMBALI! HEV DAN MEHV, DIPERKENAL PADA JULAI
Mitsubishi telah memberi nafas baharu kepada nama nostalgik apabila memperkenalkan Eclipse Cross pada 2017.
Siri nama nostalgik nampaknya diteruskan sekali lagi apabila Mitsubishi memaklumkan kenderaan utiliti sukan segmen C (SUV-C) baharu bakal dikenali sebagai Grandis.
Model ini akan diperkenal secara rasmi pada Julai dan disusuli SUV-C elektrik.

Grandis ‘OG’ adalah sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dikeluarkan dari 2003 sehingga ditamatkan pada 2011.
Grandis diambil dari perkataan Latin yang bermaksud besar dan menggagumkan dan MPV ini turut dibawa masuk ke pasaran tempatan.
Grandis baharu direka untuk bersaing di dalam segmen SUV-C di Eropah dan disasarkan kepada keluarga muda yang aktif dan memerlukan ruang, versatiliti, kecekapan dan teknologi canggih dalam sebuah SUV kompak.

Mitsubishi pada 2023 memperkenalkan ASX generasi kedua untuk Eropah dan menariknya dijenamakan semula dari Renault Captur.
Adakah strategi sama bakal diulang? Beberapa media melaporkan Grandis baharu diasaskan dari Renault Symbioz yang dilancar pada 2024.
Menurut Mitsubishi, Grandis akan menampilkan rupa depan Dynamic Shield baharu dan gaya belakang Hexaguard Horizon.

Bahagian dalaman menawarkan ruang luas dan versatil. Sebagai rujukan, Symbioz berukuran panjang 4,413 milimeter (mm), lebar 1,797 mm, tinggi 1,575 mm dan jarak roda 2,638 mm.
Ruang but mempunyai kapasiti 492 sehingga 624 liter melalui anjakan kerusi belakang.
Mitsubishi belum memperincikan rangkaian kuasa kecuali memaklumkan penawaran hibrid ringan (MHEV) dan hibrid penuh (HEV).

Sekali lagi sebagai rujukan, Symbioz dibekalkan enjin 1.6 liter petrol yang dipadan bersama dua motor elektrik dan menghasilkan 145 kuasa kuda (hp).
Berada di Eropah, Grandis dilengkapi ciri penuh Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS).
Dakwaan yang mengatakan Grandis dijenamakan dari Renault disokong oleh kedua-dua Grandis dan SUV baharu akan dikeluarkan di Eropah oleh Groupe Renault.

Mitsubishi Grandis 2025:








Mitsubishi Grandis 2005:







Renault Symbioz:



















