Buletin

MITSUBISHI L100 EV RASMI DILANCARKAN DI INDONESIA, JARAK GERAK 180KM, HARGA BERMULA RM97K

Bersempena Indonesia International Motor Show (IIMS) 2024, PT Mitsubishi Motors Krama Yudha Sales Indonesia (MMKSI) secara rasmi mengumumkan jualan Mitsubishi L100 EV.

Kenderaan komersial ringan Kei-car dari Jepun itu dijual dengan harga IDR 320 juta (RM97,811) dan harga istimewa itu hanya sah dari Februari hingga April 2024 sahaja.

Presiden Pengarah PT MMKSI Atsushi Kurita berkata, pihaknya percaya Mitsubishi L100 EV sangat kompetitif dari segi produk, baik dari segi spesifikasi mahupun julat harga ditawarkan.

Pengeluaran Mitsubishi L100 EV bermula pada Disember 2023 di kemudahan pemasangan Mitsubishi Motors Krama Yudha Indonesia (MMKI) di Cikarang, Bekasi, Jawa Barat, menandakan pengeluaran pertama model ini di luar Jepun.

Sebelum ini, Mitsubishi Motors bersama MMKSI telah menjalankan aktiviti Proof of Concept (POC) di Indonesia bersama beberapa rakan kongsi dalam sektor logistik dan perkhidmatan sejak 2020.

Aktiviti POC dijalankan bersama rakan kongsi ini, disimpulkan bahawa Mitsubishi L100 EV mampu menampung keperluan untuk menyokong aktiviti operasi harian.

Kereta elektrik Mitsubishi L100 EV terdiri daripada satu varian sahaja iaitu Two-Seaters Blind Van dan datang dalam satu pilihan warna White Solid.

Mengenai keselamatan, Mitsubishi L100 EV dilengkapi dengan teknologi keselamatan seperti berikut:

  • 2 beg udara untuk pemandu dan penumpang baris pertama
  • Automatic Braking System (ABS)
  • Electronic Brake Distribution (EBD)
  • Brake Assist (BA)
  • Seatbelt Warning
  • Auto Light Control (ALC)

Dari segi spesifikasi, Mitsubishi L100 EV menawarkan jarak gerak 180km (dalam mod WLTC2) bagi setiap pengecasan, peningkatan sekitar 20 peratus berbanding model sebelumnya.

Bagi pengecasan biasa AC200V (15A), ia mengambil masa kira-kira 7.5 jam untuk mengecas bateri sepenuhnya.

Selain itu, bateri boleh dicas sehingga 80 peratus dalam masa lebih kurang 42 minit melalui pengecasan pantas.

Untuk rekod, motor elektrik ini berupaya menghasilkan tork maksimum 195Nm.

Google ads
Back to top button