
MITSUBISHI TRITON, OUTLANDER, DELICA D:5 UNTUK TAS 2025
Kenderaan Mitsubishi memang elok jika dijadikan objek ubah suai dan banyak mengajar peminat mengenainya.
Satu ketika dahulu kod enjin Mitsubishi meniti di bibir peminat dan pengubahsuai tempatan dan menghidupkan industri barangan kenderaan terpakai.
Sempena Tokyo Auto Salon 2025, Mitsubishi membawakan sejumlah model yang diubah suai dan tampil menarik. Tiada sedan seperti Lancer namun tetap menarik.
Delica D:5 Black Edition Active Seeker
Van ini tampil ‘jahat’ dan diasaskan dari Delica D:5 Black Edition. Bahagian luar menggunakan warna gunmetal kusam dan corak badan merujuk kepada topografi Tokachi, Hokkaido yang merupakan lokasi medan ujian Mitsubishi.
Delica D:5 dibekalkan enjin 4N14 DI-D 2.4 liter diesel turbo berkuasa 145 ps dan 380Nm. Enjin dipadan bersama kotak gear automatik lapan kelajuan dengan mod sport dan pacuan empat roda.
Pikap Triton rali AXCR 2024 Triton
Semangat sukan permotoran Mitsubishi ditonjolkan melalui pikap rali Triton yang dihantar untuk berlumba di dalam AXCR 2024 dan tahun sebelumnya.
Triton rali diubah suai mengikut spesifikasi FIA T1 (kenderaan ubah suai rentas negara).
Berbanding jentera AXCR sebelum ini, model 2024 tampil dengan kuasa yang dipertingkatkan iaitu 204 ps dan 470Nm dari enjin 4N16 2.4 liter diesel turbo.
Keupayaan off-road turut dipertingkat dengan melebarkan lebar roda dan menukar ampaian belakang kepada set rigid dan pegas gegelung berbanding jenis daun.
Triton Duta Jenama Hiromi
Dunia ubah suai pikap terbahagi kepada dua iaitu jalanan (street) dengan badan direndahkan dan banyak dibuat di Thailand.
Satu lagi jenis off-road dengan badan ditinggikan, tayar berketul dan sarat aksesori untuk rekreasi dan kembara dunia.
Triton dari duta jenama Mitsubishi ini tampil rendah dan tampil garang dengan kit badan dari depan sehingga belakang.
Outlander PHEV Night Seeker Concept
Outlander PHEV serba gelap ini membawa rekaan yang diinspirai dari permainan video. Outlander dalam keadaan asal tampil bergaya dan dalaman yang premium.
Sebagai jentera hibrid plug-in, Outlander PHEV boleh dipandu dalam mod elektrik sehingga 86 kilometer (WLTP). Bateri mempunyai kapasiti 22.7 kilowatt-jam (kWj).
Enjin petrol 4B12 MIVEC 2.4 liter menghasilkan 134 kuasa kuda (hp) dan 205Nm.
Motor elektrik depan memiliki 85 kW (114 hp) dan 255Nm. Motor elektrik belakang pula berkuasa 136 ps dan 195Nm. Kuasa keseluruhan sistem setinggi 302 hp.






