
PERODUA CATAT JUALAN SEBANYAK 358,102 UNIT SEPANJANG 2024, MENINGKAT 8.4 PERATUS
Perodua mencatatkan prestasi memberangsangkan pada tahun 2024 dengan jualan sebanyak 358,102 unit kenderaan.
Angka ini merupakan rekod tertinggi dalam sejarah syarikat, meningkat 8.4 peratus berbanding 330,325 unit yang dijual pada tahun 2023.
Dari aspek pengeluaran, Perodua berjaya menghasilkan 368,100 kenderaan, juga merupakan pencapaian tertinggi sepanjang tiga dekad operasi syarikat.
Jumlah ini menunjukkan peningkatan 7.2 peratus berbanding 343,400 unit yang dihasilkan pada tahun sebelumnya.

“Kami berjaya melangkaui kapasiti asal kami iaitu 320,000 unit, membuktikan kemampuan kami untuk menyesuaikan diri dengan keperluan semasa.
“Ini bukan sahaja satu kejayaan besar, tetapi juga penanda aras untuk industri automotif dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.
Beliau turut menegaskan bahawa pencapaian ini hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat antara semua pihak.
Bagi tahun 2024, jumlah keseluruhan industri (TIV) diunjurkan melebihi 814,000 unit kenderaan, dengan Perodua menyumbang 44 peratus daripada jumlah tersebut. Ini menjadikan Perodua sebagai pemacu utama pertumbuhan industri.
Secara suku tahun, jualan Perodua mencatat 97,741 unit dari Oktober hingga Disember 2024, meningkat 0.7 peratus berbanding 97,098 unit pada tempoh yang sama tahun 2023.
Disember 2024 juga menyaksikan peningkatan 3.2 peratus dalam jualan bulanan kepada 32,202 unit, berbanding 31,210 unit pada Disember 2023.
Dari segi selepas jualan, Perodua merekodkan lonjakan sebanyak 9.7 peratus dalam jumlah kenderaan yang diselenggara, mencapai 3.4 juta unit berbanding 3.1 juta unit pada tahun 2023.
Mengulas prospek tahun 2025, Dato’ Sri Zainal optimis walaupun menyedari cabaran yang semakin meningkat, termasuk persaingan daripada jenama automotif baharu.
Dengan pencapaian yang cemerlang pada tahun 2024, Perodua terus menegaskan peranannya sebagai peneraju industri automotif negara.
- BACA: MITSUBISHI TRITON, OUTLANDER, DELICA D:5 UNTUK TAS 2025
- BACA: PROTON e.MAS 7 PENUHI ASPIRASI MOBILITI ELEKTRIFIKASI HIJAU TEMPATAN
- BACA: TERKINI: ZONTES ZT 703 F ADVENTURE BAKAL LANCAR MEI INI – HARGA BAWAH RM50K?
- BACA: PROTON TAMAT TAHUN 2024 DENGAN CEMERLANG – CATAT HASIL JUALAN 14,601 UNIT PADA DISEMBER