Buletin

MITSUBISHI TRITON SINGLE CAB

Pengedar rasmi kenderaan jenama Mitsubishi di Malaysia, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) pada Khamis lalu (28 Mac 2013) melancarkan Triton Single Cab ke pasaran tempatan.

Triton Single Cab dilihat sebagai jawapan kepada keperluan pengangkutan barang dan mesin bagi kegunaan tugas berat. Ia dikuasakan oleh unit enjin diesel tanpa turbo bersesaran 2.8 liter.

Enjin tersebut mampu menjana kuasa sehingga 97PS @ 4,000rpm dengan tork maksimum 198Nm @ 2,000rpm dan dipadankan bersama kotak gear manual lima kelajuan.

Kuasa enjin disalurkan kepada roda menerusi sistem Easy Select 4WD. Sistem itu membolehkan pemandu menukar mode pacuan 2WD kepada 4WD pada kelajuan sehingga 100 kilometer sejam.

Triton Single Cab- Best

Bagi tujuan ketahanan dan prestasi, enjin dengan sistem pancitan terus itu direka agar boleh menerima pelbagai kualiti minyak diesel. Ini pastinya mengurangkan risiko kerosakan enjin, walaupun jika terpaksa menggunakan diesel berkualiti rendah.

Kemampuan sebegitu menjadikan Triton Single Cab sebagai pengangkutan terbaik untuk industri pertanian dan perladangan yang biasanya terletak di lokasi terpencil. Kedudukan ruang kargonya yang rendah (845mm) juga memudahkan proses mengangkut dan menurunkan barang.

Jentera pacuan empat roda itu ditawarkan pada harga RM70,409 (di atas jalan tidak termasuk insurans) untuk pelanggan di Semenanjung Malaysia. Bagi pengguna di Sabah dan Sarawak, harganya ialah RM71,221 (Sabah) dan RM71,372 di Sarawak. Diimport sepenuhnya dari Thailand, Triton Single Cab hadir dalam satu warna sahaja iaitu putih solid.

Dengan penambahan varian Single Cab, rangkaian penuh trak pikap Triton kini terdiri daripada model Triton VGT 2.5-liter 4×4 Automatik, 2.5-liter 4×4 Automatik dan  Manual, serta Triton LITE Turbo 2.5-liter 4×2 Manual.

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button