
MITSUBISHI TRITON RANGKUL ANUGERAH REKA BENTUK TERBAIK DALAM 2024 – 2025 JAPAN CAR OF THE YEAR
Mitsubishi Motors Corporation (Mitsubishi Motors) mengumumkan bahawa Triton serba baharu, telah dinobatkan dengan Design Car of the Year di Japan Car of the Year 2024-2025.
Penghargaan ini, mengiktiraf reka bentuk luaran dan dalaman, merupakan kemenangan kedua bagi Mitsubishi Motors selepas memenangi anugerah yang sama pada tahun lalu dengan Delica Mini super height-wagon kei-car.
Anugerah Kereta Reka Bentuk Terbaik diberikan kepada Triton atas reka bentuknya yang kukuh namun menginspirasikan, di mana ia dilihat dapat menggalakkan pelanggan untuk menerokai gaya hidup lebih berani.

Nisbah bentuk badan Triton yang seimbang, walaupun ia adalah model kabin dua, turut mendapat pujian kerana memberikan kestabilan dan penampilan yang tegap.
Menurutnya, reka bentuk Triton ini berasaskan konsep “Beast Mode”, yang menekankan ketangguhan dan kuasa, dua kualiti penting bagi sebuah trak pikap.
Membawa warisan dari model Forte yang pertama kali dilancarkan pada 1978, Triton telah berkembang melalui lima generasi, dengan lebih 5.7 juta unit dijual di sekitar 150 negara, menjadikannya model strategik global bagi Mitsubishi Motors.
Dibangunkan dengan konsep produk “Power for Adventure,” Triton serba baharu ini menyaksikan perubahan besar dalam reka bentuk dalaman dan luaran, casis, rangka tangga, serta enjin.
Dilancarkan pertama kali di Thailand pada Julai 2023 dan diperkenalkan di Jepun pada Februari 2024, Triton serba baharu ini akan dilancarkan secara bertahap di lebih 100 negara.
Selain untuk kegunaan komersial, Triton juga menyasarkan pelanggan gemar akan pengembaraan, membuka peluang untuk aktiviti sukan air, sukan musim sejuk, dan aktiviti luar yang lain.