Artikel Pilihan

MAX VERSTAPPEN – JUARA DUNIA F1 DALAM PEMBIKINAN

Nama anak muda Max Verstappen ini tiba-tiba meletup dan menjadi perhatian sejak akhir-akhir ini dalam pentas F1. Keupayaan Max untuk memenangi pusingan Grand Prix Malaysia minggu lalu dan muncul sebagai pemandu termuda pada usia 20 tahun untuk menjuarai litar di Sepang membuktikan bahawa beliau adalah bakal juara dunia dalam pembikinan.

BACA : LEGASI PELUMBA F1 ANAK DAN BAPA

BACA : 10 PEMANDU F1 TERHEBAT SEPANJANG ZAMAN

Ironi disebalik kemenangan di Sepang adalah, beliau baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran yang ke 20 tanggal 30 September yang lepas. Kira macam hadiahlah kononnya. Ironinya lagi, tatkala Litar Sepang menganjurkan pertama kali kejuaraan F1, usia Max hanyalah setahun jagung. Makan pun bersuap. Tapi sekarang ini selamba sahaja pelumba senior yang lain kena titik dengan dak Max ni.

Untuk yang mengetahui, memang benar Jos Verstappen adalah bapa beliau yang turut sama aktif dalam dunia F1, cuma rezeki beliau untuk cemerlang barangkali tiada. Dan setelah bersara dari dunia perlumbaan, beliau memutuskan untuk menguruskan sendiri karier Max. Oh ya, emak si Max ini juga bukan calang. Sophie Kumpen merupakan bekas juara kart yang berasal dari Belgium. Dan walaupun Max dilahirkan di Belgium serta memiliki pasport Belgium, namun Max lebih memilih untuk mewakili negara Belanda, memandangkan beliau lebih banyak menghabiskan masa mudanya dengan dikelilingi warga Belanda, sementelah menetap di Maaseik, kota Belgium yang bersempadan dengan Belanda.

Bila mana sang bapa adalah pelumba, kebarangkalian untuk si anak menjebakkan diri dalam scene pemegangan stereng secara serius sudah tentu akan bermula sewaktu usia kandungan mencecah lima bulan lagi. Ok Brader Karrager seloroh aja. Max mula terlibat secara serius dalam dunia kart ketika usianya belum pun menjangkau ke angka lima tahun.

Dan dalam tempoh tiga tahun pertama, Max mampu mememangi hampir setiap kejohanan yang disertainya. Dan beberapa tahun kemudiannya, setelah muncul juara di peringkat domestik, Max terus melebarkan sayap untuk muncul juara kart bagi Eropah dan juga Dunia.

Rentetan kejayan demi kejayaan dalam perlumbaan satu tempat duduk termasuklah beraksi dalam FIA European Formula 3 Championship, Max telah dilamar untuk beraksi bersama Red Bull Junior Team pada 2014 sebelum diumumkan untuk beraksi bersama Scuderia Toro Rosso untuk beraksi dalam F1 untuk musim 2015.

Muncul sebagai pemandu F1 termuda pada usia 17 tahun, debut tahun pertamanya agak memberangsangkan. Dan disusuli dengan prestasi yang konsisten pada awal musim tahun 2016, pasukan utama Red Bull Racing telah mengumumkan beliau dinaikkan pangkat untuk beraksi bersama bermula pusingan kelima di Sepanyol dan berjaya muncul juara termuda Grand Prix Sepanyol pada usia 18 tahun.

Dan musim 2017 prestasi agak turun naik disebabkan terpaksa bersara daripada perlumbaan dek kerana masalah jentera Renault. Pun begitu, kutipan mata serta podium masih mampu digapai. Dan prestasi cemerlang beliau diteruskan dengan menjuarai Grand Prix Malaysia minggu lalu.

Menurut kata Max lagi yang dipetik dalam laporan akhbar, kejuaraan dunia pasti dalam genggaman beliau sedikit masa lagi. Kalau kena dengan jentera, dominasi Red Bull Racing pasti berulang kembali sama seperti bersama Sebastian Vettel.

Sumber Gambar : www.grandprix247.com

Google ads

B K

Back to top button