BuletinMotosikal

MODENAS DOMINAR D400 DILANCARKAN. RM13,788 JE?. MURAHNYA OOOIIII!

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) telah melancarkan motosikal sports tourer MODENAS Dominar D400, motosikal besar pertama yang dinanti-nantikan sejak dua dekad bagi syarikat untuk terus maju di pasaran tempatan.


Pelancaran Dominar D400 mengembalikan segmen sports touring ke dalam jenama MODENAS seperti model Jaguh yang popular di tahun 1999. Ia menawarkan gabungan kuasa yang mantap untuk pecutan pendek dan perjalanan enjin yang lancar untuk pengembaraan jarak jauh. Motosikal ini merupakan sports tourer lengkap yang memiliki reka bentuk dan kedudukan postur yang meningkatkan lagi pengalaman menunggang.

BACA: SPYSHOT, MODENAS SUPER MOPED 150cc

Sekali lagi MODENAS telah membawa kejutan ke pasaran dengan mengumumkan harga Dominar D400 yang mampu dimiliki. Ia dijual pada harga RM 13,788.00 (tak termasuk GST)

Dato’ Abdul Harith Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif – Pengagihan Automotif, Pertahanan, Pembuatan & Kejuruteraan, DRB-HICOM Berhad, yakin Dominar D400 mampu menarik minat rakyat Malaysia menerusi reka bentuk yang moden dan berbeza serta harga yang kompetitif, menjadikan motosikal ini paling sesuai untuk kegunaan kerja harian dan motosikal pengembaraan pada hujung minggu.

“Permintaan terhadap motosikal street dijangka meningkat kerana semakin ramai belia yang memilih gaya hidup pantas untuk dinikmati. Kejayaan Pulsar dan V15 di pasaran tempatan telah mengukuhkan lagi kepercayaan kami bahawa madanya telah tiba untuk memperkenalkan produk baharu yang sudah tentu akan meningkatkan pengalaman menunggang motosikal di kalangan peminat motosikal di Malaysia,” beliau berkata. 

Dinesh Kulkarni, Naib Presiden, Bajaj Auto Limited, berkata bahawa Dominar D400 dibina untuk memberikan pengalaman pengembaraan yang hebat dan bilangan pemilik yang berpuas hati dengan motosikal ini kini semakin bertambah di seluruh dunia; dari Amerika Latin dan Eropah hingga ke Asia Selatan dan kini di Asia Tenggara.

“Baru-baru ini, motosikal Dominar D400 telah berjaya menamatkan salah satu daripada perjalanan motosikal paling jauh, Trans-Siberian Odyssey meliputi 15,000 km dalam masa 53 hari. Perjalanan dari Uzbekistan ke Rusia dan merentasi enam buah negara telah berjaya ditamatkan tanpa sebarang kerosakan. Ini membuktikan tahap keselesaan dan kuasa motosikal serta kehebatannya sebagai sebuah sports tourer yang sebenar,” beliau berkata.

Berasaskan motosikal 400 cc antara yang terbaik di India keluaran Bajaj, Dominar D400 digerakkan oleh enjin empat injap penyejukan cecair 373 cc dengan pencucuhan tiga percikan digital (DTS-i) dan pancitan bahan api dengan kuasa maksimum 35 hp pada 8,000 rpm. Tambahan lagi, sebanyak 28 Nm daripada jumlah tork 35 Nm yang tersedia boleh didapati pada 3,000 rpm, untuk membolehkan tunggangan yang sangat lancar menerusi kuasa yang ada.

Enjin ini dipadankan dengan transmisi enam kelajuan berserta klac slipper dan dilengkapi dengan ABS saluran berkembar untuk memberikan prestasi, pengendalian dan keselamatan yang terbaik. Sistem suspensi terdiri daripada garpu teleskopi 43mm di hadapan dan penyerap hentakan tunggal boleh laras berbilang peringkat di belakang untuk tunggangan yang sporty.

Dengan berat tanpa penunggang sebanyak 182 kg dan kapasiti tangki bahan api 13 liter, Dominar D400 adalah sesuai untuk pecutan jarak pendek dan pengembaraan jarak jauh.

MODENAS Dominar D400 merupakan produk keempat dalam segmen motosikal jalan raya yang muncul daripada kejayaan kerjasama antara syarikat dengan Bajaj. Motosikal jalanan jenis “naked” Pulsar NS200, motosikal lumba RS200 dan motosikal retro V15 telah menyaksikan gabungan jualan melebihi 4,500 buah unit sejak dilancarkan pada Mei 2017. Ini membolehkan MODENAS menawan 23% daripada bahagian pasaran segmen motosikal jalanan 250 cc dan ke bawah.

Dalam tahun kewangan 2017/18, MODENAS telah berjaya menjual lebih daripada 41,800 unit motosikal atau peningkatan sebanyak 47% berbanding tahun kewangan 2016/17

GALERI

Google ads
Back to top button