HARGA KAWASAKI KLE500 DIUMUMKAN – RM32,900
Kawasaki KLE500 kini boleh didapati di pusat pameran rasmi Kawasaki Malaysia dengan harga jualan RM32,900.
Meskipun berkongsi nama sama dengan KLE500 keluaran 1991-2007 namun KLE500 2026 ini adalah model serba baharu.
Menggerakkan model baharu ini adalah unit dua silinder (parallel-twin) 451cc yang sama terdapat pada Ninja 500, Z500 dan Eliminator 500. Enjin ini menawarkan 51hp pada 10,000rpm dan 43Nm pada 7,500rpm.

KLE500 dilengkapi dengan kerangka steel trellis serba baharu yang dipadankan bersama tayar 21-inci depan dan 17-inci belakang dengan rim jenis lidi (spoke). Ini bermakna, KLE500 bakal bersaing dengan CFMOTO 450MT.
Sementara itu, Kawasaki mendakwa bahawa kerangka diguna pakai hanyalah seberat 19kg dan menawarkan telemetri yang memfokuskan tunggangan jalan raya dan trail. Memandangkan enjin bertindak sebagai beban utama, Kawasaki berjaya mengekalkan pusat graviti yang lebih rendah.

Suspensi pula merangkumi fork USD 43mm dari KYB dengan jarak gerak 210mm dan monoshock dibelakang dengan pelarasan pra-beban (preload). Pakej brek pula terdiri dari cakera tunggal 300mm depan dan 230mm belakang masing-masing dipadankan dengan ABS (boleh dipadamkan untuk tunggangan off-road).
Antara perincian lain ditawarkan termasuk tangki bahan api berkapasiti 15.8L, lampu LED penuh, penghadang angin boleh laras (skru). Memandangkan KLE500 ini adalah varian Standard dijual di Malaysia, model ini hanya dilengkapi meter digital LCD berbanding TFT pada varian SE.







