Buletin

MOT GALAK BUDAYA ‘CARPOOL’ UNTUK E-HAILING – ANTHONY LOKE

Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang memperincikan pelaksanaan dasar lebih fleksibel bagi membolehkan industri e-hailing memperkenalkan perkhidmatan perkongsian kenderaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah itu dilihat boleh mengurangkan kos pengguna menerusi perkongsian kenderaan dalam perjalanan.

“Cadangan itu bukan baharu, sebelum ini beberapa syarikat e-hailing telah lakukan pembuktian konsep bagi perkhidmatan berkenaan.

“Kita akan laksanakan dasar yang lebih anjal untuk membenarkan industri tersebut menggunakan pembaharuan ini.

“Cara ini dapat meringankan beban atau mengurangkan kos perjalanan. Kita harap ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat kerana pembuktian konsep sudah ada, cuma perlu kita tingkatkan sahaja,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan MOT di sini, hari ini.

Katanya lagi, MOT turut menjangkakan lebih ramai rakyat akan menggunakan pengangkutan awam dan kenderaan elektrik (EV) demi penjimatan susulan konflik di Asia Barat.

Sehubungan itu, katanya, MOT perlu sentiasa memastikan pengangkutan awam diperkasakan demi manfaat rakyat.

“MOT komited memperkasakan penggunaan pengangkutan awam di seluruh negara, khususnya Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB), perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan Transit Aliran Massa (MRT) bagi memastikan kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Google ads
Back to top button