
JPJ SARAWAK SITA FERRARI F12BERLINETTA NOVITEC – TIADA LKM DAN INSURANS
Sebuah kereta mewah jenis Ferrari telah ditahan dalam Ops Luxury yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Sarawak selepas pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut melakukan beberapa kesalahan serius.
Hasil pemeriksaan mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh, selain kenderaan itu tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.
Turut dikesan, kereta berkenaan gagal mempamerkan nombor pendaftaran di bahagian hadapan seperti yang ditetapkan.

Susulan pelanggaran tersebut, kenderaan mewah itu telah disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tindakan sitaan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Kereta mewah yang disita itu difahamkan merupakan model Ferrari ultra-terhad yang telah ditala oleh Novitec Group, sebuah syarikat pengubahsuaian kenderaan berprestasi tinggi dari Jerman.
Model asasnya ialah Ferrari F12berlinetta yang diubah suai secara ekstrem dengan kit badan lebar gentian karbon.
Dihasilkan dalam jumlah amat terhad, Novitec hanya menukarkan 11 unit di seluruh dunia kepada versi widebody yang lebih agresif.
Jentera tersebut juga menjadi kira-kira 14cm lebih lebar berbanding model standard, selain menerima peningkatan prestasi sehingga sekitar 781hp, menjadikannya antara F12 paling berkuasa pernah dibangunkan oleh penala bebas. – JPJ Sarawak







