Buletin

JPJ PERKENAL SOP BAHARU UNTUK BENGKEL EV DI P. PINANG

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pendaftaran bengkel kenderaan elektrik (EV) dalam usaha memperkukuh ekosistem automotif hijau negara yang kini berkembang pesat.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, langkah itu penting bagi memastikan bengkel tempatan bersedia dari segi kemahiran teknikal, kemudahan dan aspek keselamatan dalam mengendalikan kenderaan EV, khususnya melibatkan kes kemalangan.

Beliau berkata, sehingga Februari lalu, sebanyak 115,809 kenderaan EV direkodkan di seluruh negara dengan Pulau Pinang mencatatkan 2,803 unit merangkumi 889 motosikal, 1,907 kereta penumpang, satu kenderaan barangan ringan dan enam lain-lain kenderaan.

“Pertumbuhan ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memastikan bengkel pembaikan mempunyai keupayaan teknikal serta tahap keselamatan tinggi dalam mengendalikan teknologi EV yang semakin kompleks.

“Ketika ini, daripada 79 bengkel berdaftar di Pulau Pinang, hanya 37 bengkel aktif termasuk dua bengkel EV, sekali gus membuka ruang besar untuk meningkatkan kapasiti industri tempatan,” katanya.

Terdahulu beliau mengadakan Taklimat SOP Pendaftaran Bengkel EV dan sesi dialog bersama pengusaha bengkel di PICCA Convention Centre, Butterworth, hari ini.

Zulkifly berkata, SOP yang diperkenalkan itu antara lain bertujuan memastikan semua bengkel mematuhi piawaian keselamatan dan keperluan teknikal, selain meningkatkan bilangan bengkel yang berkelayakan mengendalikan kenderaan EV.

Katanya, pelaksanaan SOP itu juga akan menyokong pembangunan ekosistem EV yang lebih tersusun, selamat dan mampan di negara ini.

“Program ini menerima maklum balas positif daripada pengusaha bengkel dan pemain industri, mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh ekosistem EV negeri ini.

“Ia juga dijangka meningkatkan kesiapsiagaan bengkel tempatan dalam menghadapi perkembangan teknologi kenderaan elektrik, sekali gus memastikan perkhidmatan yang selamat, profesional dan berkualiti kepada pengguna.

“Kita akan terus komited membangunkan industri pembaikan EV secara teratur dan selamat selaras dengan aspirasi negara ke arah teknologi hijau dan mampan,” katanya. – MalaysiaGazette

Google ads
Back to top button