
EV BELUM MESRA POKET BUAT PEMANDU E-HAILING
Peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) dalam kalangan pemandu e-hailing dilihat masih belum meyakinkan, apabila ramai menganggap langkah itu sebagai satu risiko kewangan yang besar, meskipun mereka terbuka terhadap teknologi baharu tersebut.
Ketua aktivis Gabungan eHailing Malaysia (GEM), Masrizal Mahidin berkata, kebanyakan pemandu ketika ini masih beroperasi dalam model ekonomi gig yang meletakkan hampir keseluruhan risiko kewangan di bahu individu.
Menurutnya, daripada pemilikan kenderaan hinggalah kos operasi dan ketidakstabilan pendapatan, pemandu menanggung sendiri beban tersebut, menjadikan peralihan kepada EV bukan satu peluang, sebaliknya satu lagi tekanan baharu.
“Isu utama bukan sekadar kemampuan menyesuaikan diri, tetapi sama ada ekosistem sedia ada benar-benar menyokong perubahan ini,” katanya.
Beliau menjelaskan, antara kebimbangan utama ialah harga permulaan EV yang tinggi, akses kepada kemudahan pengecasan yang tidak sekata, serta kehilangan pendapatan apabila masa digunakan untuk mengecas kenderaan.
Tambahnya lagi, struktur pembiayaan sedia ada juga kurang sesuai dengan realiti pendapatan pemandu gig yang tidak tetap, sekali gus menyukarkan mereka untuk komited kepada bayaran bulanan.
Sehubungan itu, Masrizal mencadangkan pendekatan lebih inklusif seperti perkongsian risiko antara pemandu, platform dan pemain industri, selain skim pembiayaan berasaskan pendapatan serta model pemilikan armada secara koperasi.
“Insentif seperti subsidi pembelian dan rebat operasi perlu direka khusus untuk pemandu bekerja sendiri, bukan disamaratakan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa dasar yang terlalu memihak kepada pengendali armada besar, sekali gus menjejaskan keseimbangan industri dalam jangka panjang.
Sementara itu, Presiden Malaysia E-Hailing Drivers Association (MeHDA), Daryl Chong berpandangan bahawa penggunaan EV dalam sektor e-hailing bukan sesuatu yang mustahil, namun memerlukan sokongan lebih kukuh daripada kerajaan.
Katanya, antara langkah yang perlu diberi perhatian termasuk skim pembiayaan EV bersubsidi khusus untuk pekerja gig, perluasan rangkaian pengecasan awam dan komersial, serta program tukar beli tersusun bagi kenderaan enjin pembakaran dalaman.
Menurut beliau, walaupun ramai pemandu berminat beralih kepada EV kerana potensi penjimatan kos bahan api dan penyelenggaraan, beberapa kekangan utama masih membelenggu.
“Cabaran terbesar ialah harga pembelian yang tinggi, kemudahan pengecasan terhad terutama di luar Lembah Klang, tempoh pengecasan yang panjang sehingga menjejaskan masa mencari pendapatan, serta ketidakpastian jangka hayat bateri dan nilai jualan semula,” jelasnya.
Beliau menambah, kebanyakan pemandu ketika ini beroperasi dengan margin keuntungan yang kecil dan bergantung kepada skim sewa beli, menjadikan komitmen bulanan bagi EV sukar ditanggung.
Dalam pada itu, MeHDA sedang giat berunding dengan kementerian berkaitan bagi mencari penyelesaian lebih menyeluruh, termasuk merangka dasar yang lebih adil dan mampan untuk semua pihak dalam industri e-hailing. – The Star







