
MV AGUSTA ENDURO VELOCE 2026, UBAH CIRI STANDARD, 2 WARNA BAHARU – RM96 RIBU
MV Agusta Enduro Veloce 2026 tampil dengan sejumlah peningkatan seperti penambahan perkakasan standard dan dua skema warna baharu yang menarik.
Enduro Veloce 2026 diperkenalkan dalam dua skema warna baharu, setiap satu menampilkan personaliti berbeza iaitu Nero Intenso/Grigio Antracite untuk penampilan yang agresif dan sporti, serta Bianco Perlato RC/Blu Nordico yang menonjolkan keanggunan dan kecanggihan Itali.

Enduro Veloce 2026 dilengkapi dengan pakej perkakasan standard yang lebih lengkap, termasuk:
- Kotak sisi untuk kapasiti bagasi yang mencukupi.
- Tongkat tengah untuk kemudahan dan penyelenggaraan.
- Bar pelindung untuk ketahanan tambahan dan kesediaan off-road.
- Lampu kabus untuk penglihatan yang lebih baik dalam semua keadaan cuaca dan cahaya.
- Tayar Bridgestone AT41 untuk kawalan optimum di jalan biasa dan off-road.
Fairing yang besar dan cermin depan berwarna direka untuk menawarkan perlindungan angin maksimum kepada penunggang sambil mengurangkan gelora di sekitar topi keledar, memastikan kedudukan menunggang yang selesa dan kawalan penuh.

Aspek aerodinamik merupakan bahagian penting untuk Enduro Veloce.
Pelindung lumpur hadapan dan pengekstrak udara pada panel sisi telah dioptimumkan melalui ujian jalan raya dan simulasi canggih, memastikan aliran udara ke radiator dan keselesaan penunggang di samping kestabilan pada kelajuan tinggi, termasuk semasa membawa beg penuh.
Bahagian ekor yang kompak diimbangi oleh bahagian hadapan yang lebih berlekuk dan aerodinamik.
Enduro Veloce dikuasakan enjin tiga silinder 931 cc yang direka dan dibina sepenuhnya di kilang MV Agusta di Varese.

Enjin ringan ini, dengan berat hanya 57 kg, menampilkan inovasi ikonik MV Agusta, iaitu aci engkol berputar lawan (counter-rotating crankshaft), yang meningkatkan ketangkasan dan mengurangkan inersia giroskopik.
Enjin ini mampu menghasilkan 124 hp pada 10,000 rpm dan tork setinggi 102Nm pada 7,000 rpm.
Ia menawarkan tork rendah yang serta-merta (85% tork tersedia seawal 3,500 rpm) dan prestasi puncak yang mendebarkan.
Kotak gear enam kelajuan yang lancar dipadankan dengan penukar pantas EAS 4.0, membolehkan penukaran gear naik dan turun tanpa klac, walaupun ketika memecut.

Pematuhan Euro 5+ memastikan enjin ini mesra alam tanpa menjejaskan bunyi MV Agusta yang tersendiri, yang dipertingkatkan lagi oleh injap ekzos pintasan.
Casis Enduro Veloce dibina menggunakan rangka perimetrik keluli dengan rangka buaian berkembar (double cradle layout) untuk keseimbangan ideal di antara kestabilan di jalan raya dan penyerapan hentakan di laluan off-road.
Sub-rangka belakang yang boleh ditanggalkan memudahkan kerja penyelenggaraan, manakala lengan ayun aluminium mengurangkan berat dan meningkatkan ketangkasan.

Sistem suspensi Sachs yang lengkap terdiri daripada fork 48 mm boleh laras sepenuhnya (pergerakan 210 mm) di hadapan dan penyerap hentak tunggal boleh laras dengan pautan progresif (pergerakan 210 mm) di belakang untuk ketepatan dan keselesaan di semua jenis permukaan.
Ketinggian tempat duduk boleh diubah dari 850 mm hingga 870 mm, dengan kelegaan tanah 230 mm, menjadikannya ideal untuk pengembaraan.
Prestasi brek dikendalikan oleh angkup Brembo Stylema pada cakera hadapan terapung 320 mm, digabungkan dengan cakera belakang 265 mm dan angkup dua omboh, menawarkan kawalan dan kuasa hentian yang unggul dalam pelbagai keadaan.

Enduro Veloce dilengkapi dengan pakej elektronik yang canggih, dengan IMU 6 paksi yang memproses data dinamik masa nyata untuk kawalan optimum.
Penunggang boleh memilih satu daripada empat mod tunggangan iaitu Urban, Touring, Off-Road dan Custom All-Terrain untuk menyesuaikan tetapan kawalan cengkaman, brek enjin dan tindak balas pendikit mengikut keutamaan mereka.
Sistem Cornering ABS yang lengkap dengan RLM (Rear Wheel Lift Mitigation) memastikan kestabilan semasa membrek.

Fungsi Kawalan Jelajah (Cruise Control) pula meningkatkan keselesaan untuk perjalanan jarak jauh.
Skrin TFT HD 7-inci yang boleh disesuaikan sepenuhnya menawarkan sambungan Wi-Fi dan Bluetooth.
Aplikasi MV Ride pula menyediakan pandu arah belok demi belok, rakaman perjalanan dan fungsi perkongsian komuniti, membolehkan penunggang mengkaji semula laluan, menganalisis prestasi dan berkongsi pengalaman.
Harga jualan Enduro Veloce ditetapkan pada 19,900 Euro (pasaran Itali), bersamaan RM96,176.10.

Spesifikasi Teknikal Utama MV Agusta Enduro Veloce 2026
- Enjin: 931 cc, 3-silinder, Aci Engkol Berputar Lawan (Counter-rotating Crankshaft)
- Kuasa Maksimum: 124 hp pada 10,000 rpm
- Tork Maksimum: 102Nm pada 7,000 rpm
- Berat Enjin: 57 kg
- Transmisi: 6-kelajuan dengan Penukar Pantas EAS 4.0
- Emisi: Euro 5+
- Suspensi Hadapan: Fork Sachs 48 mm, Boleh Laras Sepenuhnya (210 mm Pergerakan)
- Suspensi Belakang: Penyerap Hentak Tunggal Sachs Boleh Laras dengan Pautan Progresif (210 mm Pergerakan)
- Kelegaan Tanah: 230 mm
- Ketinggian Tempat Duduk: Boleh Laras (850 mm – 870 mm)
- Brek Hadapan: Angkup Brembo Stylema, Cakera Terapung 320 mm
- Brek Belakang: Cakera 265 mm dengan Angkup 2-Omboh
- Tayar Standard: Bridgestone AT41
- Elektronik: IMU 6-paksi, 4 Mod Tunggangan (Urban, Touring, Off-Road, Custom All-Terrain), Cornering ABS dengan RLM, Kawalan Jelajah
- Paparan: TFT HD 7-inci dengan Keterhubungan Wi-Fi dan Bluetooth
- Waranti: 5 Tahun Waranti Kilang
- Harga Jualan (Itali): 19,900 Euro (RM96,176.10)




























