Buletin

NISSAN GT-R TIDAK LAGI DIJUAL DI EROPAH GARA-GARA PERATURAN EMISI

Era supercar Nissan GT-R kini sudah pun ditamatkan di benua Eropah.

Ini kerana menurut laporan daripada Motor1 yang memetik Autoblog.nl, penamatan penjualan model tersebut adalah disebabkan oleh peraturan emisi yang semakin ketat.

Beberapa laman web rasmi turut menggugurkan Nissan GT-R daripada senarai model terkini, malah tempahan bagi model tersebut telah pun ditutup di beberapa buah negara.

Selain daripada itu, laman Autoblog.nl turut menyatakan harga jualan Nissan GT-R agak mahal menjadikan kebanyakan pengedar sukar untuk menjual model tersebut di pasaran mereka.

Seperti contoh, di The Netherlands, harga asas Nissan GT-R bermula dari €183,000 (RM845 ribu) sementara Nissan GT-R Nismo pula berharga dari €303,000 (RM1.4 juta).

Dalam satu laporan berbeza oleh Carscoops, Nissan UK memberitahu penamatan penjualan Nissan GT-R adalah disebabkan ia tidak lagi mampu mematuhi undang-undang bunyi bising baharu yang dilaksanakan.

Ini sekaligus menjadi satu berita yang cukup menyedihkan buat para peminat Nissan di sana, memandangkan sebelum ini Nissan telah mengesahkan model generasi baharu Nissan Z juga tidak akan ditawarkan di pasaran tersebut.

Sumber: Motor1, Carscoops

Google ads
Back to top button