
DENZA BUKA ‘MARKAS’ DI MILAN, CABAR BMW DAN AUDI DI KUBU MEREKA SENDIRI
Denza bersedia memperkukuhkan kedudukannya dalam pasaran premium Eropah menerusi pendekatan rekaan yang lebih dekat dengan cita rasa pengguna benua itu, apabila syarikat induknya, BYD, membuka pusat reka bentuk baharu di Milan, Itali.
Langkah tersebut diumumkan oleh Ketua Reka Bentuk BYD, Wolfgang Egger, yang sebelum ini pernah berkhidmat dengan beberapa jenama premium terkenal termasuk Alfa Romeo, Audi dan Lamborghini.
Menurut beliau, studio baharu itu akan berfungsi sebagai hab penyelidikan reka bentuk khusus bagi memahami trend, gaya hidup dan kehendak pelanggan Eropah sebelum diterjemahkan kepada model-model Denza dan BYD.
Pembukaan pusat reka bentuk di Milan dilihat sebagai strategi penting ketika Denza sedang memperluaskan operasi di Eropah.
Jenama premium dari China itu kini berdepan cabaran besar untuk menarik pelanggan yang selama ini setia kepada nama-nama seperti BMW, Audi, Mercedes-Benz dan Porsche.

Model pertama Denza yang memasuki pasaran Eropah ialah Z9 GT, sebuah wagon prestasi tinggi yang diposisikan sebagai pesaing kepada Porsche Panamera. Ia kemudian disertai oleh Denza Z, kereta sport elektrik berkuasa tinggi yang menyasarkan segmen yang sama dengan Porsche 911 Turbo.
Egger percaya Denza mampu mencabar pengeluar premium tradisional bukan sahaja melalui teknologi canggih, malah menerusi bahasa reka bentuk yang lebih relevan dengan pasaran sasaran.
Beliau berkata kehadiran studio di Milan membolehkan pasukan reka bentuk Denza menjalin hubungan lebih rapat dengan industri fesyen dan pembekal bahan premium Itali.
Ini termasuk akses kepada bahan berkualiti tinggi, material lestari serta inovasi baharu yang sering digunakan dalam sektor mewah.
Milan turut dipilih kerana kedudukannya sebagai antara pusat fesyen dan reka bentuk paling berpengaruh di dunia.
Malah, pelancaran rasmi Denza di Eropah sebelum ini juga berlangsung sempena Milan Design Week, acara yang menghimpunkan pelbagai jenama terkenal seperti Prada, Gucci dan Fendi.
Pendekatan baharu itu turut membuka ruang kepada penggunaan bahan lestari dalam kabin kenderaan. Antara contoh yang diketengahkan ialah penggunaan panel pintu berasaskan buluh pada Denza Z9, sekali gus mencerminkan usaha syarikat menggabungkan elemen premium dan mesra alam.
Selain menghasilkan reka bentuk yang lebih sesuai untuk pelanggan Eropah, studio di Milan juga akan menjadi asas kepada konsep “atelier” atau pusat penyesuaian khas.
Melalui kemudahan tersebut, pelanggan berpotensi memilih bahan, kemasan dan sentuhan peribadi yang lebih eksklusif, seumpama pengalaman ditawarkan oleh pengeluar mewah seperti Bentley atau Aston Martin.
Egger yang pernah mengetuai reka bentuk Audi Group selama enam tahun menyifatkan Denza mempunyai kelebihan besar dari segi teknologi. Beliau yakin inovasi dan reka bentuk segar mampu membantu jenama itu menembusi pasaran yang selama ini didominasi pengeluar Eropah.
Selepas Z9 GT dan Denza Z, model seterusnya yang dijangka memasuki Eropah ialah Bao 5, sebuah SUV lasak yang bakal bersaing dengan Land Rover Defender.
Selain itu, beberapa model lain termasuk N8, N9, D8 serta sedan Z9S turut dilihat berpotensi menerima sentuhan khas daripada pasukan reka bentuk Milan sebelum diperkenalkan kepada pelanggan Eropah.







