Buletin

BOS NISSAN DEDAH PETANDA AWAL – “KAMI TIDAK AKAN BENARKAN GT-R LENYAP!”

Walaupun Nissan sedang melalui fasa penstrukturan besar-besaran, termasuk pemotongan kos, penutupan kilang dan pemberhentian ribuan pekerja,  harapan untuk kelahiran semula model ikonik seperti GT-R masih belum padam.

Menurut Naib Presiden Strategi Pemasaran Produk Nissan, Arnaud Charpentier, pembangunan generasi baharu GT-R bukan sekadar khabar angin.

“Memang ada pasukan yang sedang menumpukan usaha ke arah itu. Tapi bila dan bagaimana, kami sendiri belum pasti,” katanya. Namun beliau menegaskan, cabaran utama bukan sekadar membina sebuah kereta sport, tetapi menghasilkan trenkuasa yang sesuai untuk masa depan.

Charpentier juga memberi bayangan bahawa GT-R seterusnya mungkin menggunakan trenkuasa elektrifikasi, sama ada sepenuhnya elektrik atau hibrid, tetapi ia tetap perlu mengekalkan jiwa sebagai sebuah kereta prestasi tinggi.

“Kalau prestasinya hanya setanding SUV elektrik, itu satu masalah,” ujarnya jujur.

Sudah lebih setahun sejak Nissan memberi petunjuk awal tentang arah tuju GT-R masa depan. Konsep Hyper Force, sebuah supercar rekaan ekstrem dengan 1,341 kuasa kuda, pernah digambarkan oleh Ketua Reka Bentuk Nissan Eropah sebagai satu “impian yang boleh dicapai menjelang akhir dekad ini.”

Malah, beberapa tokoh penting dalam Nissan, termasuk dari Amerika Syarikat turut meluahkan keterujaan terhadap kelahiran semula “Godzilla”.

Naib Presiden Kanan Perancangan Nissan Amerika Utara, Ponz Pandikuthira, sebelum ini mencadangkan bahawa GT-R baharu (R36) mungkin berkongsi DNA dengan generasi ketiga Acura NSX, yang telah disahkan akan kembali sebagai EV.

Di sebalik semua janji ini, realitinya tetap rumit. Nissan kini berdepan kesukaran besar, dengan strategi rasionalisasi yang melibatkan pengurangan 20,000 pekerjaan, penutupan tujuh kilang, dan penyusunan semula barisan produknya.

Model sport seperti GT-R atau Silvia mungkin tidak lagi menjadi keutamaan ketika perhatian tertumpu kepada SUV dan sedan laris seperti Sentra.

Namun, masih ada secercah cahaya. Ketua pembangunan produk Nissan yang baharu, Ivan Espinosa, dikenali sebagai peminat tegar kereta sport, beliau memandu Nissan Z ke tempat kerja setiap hari.

Keghairahan ini mungkin menjadi pemangkin kepada keputusan untuk membawa semula model berprestasi tinggi ke dalam barisan produk.

Persoalannya kini bukan sama ada GT-R akan kembali, tetapi bila, dan dalam bentuk bagaimana? elektrik penuh? Hibrid? Atau satu kejutan yang belum terbayang?

Google ads
Back to top button