
GODFATHER GT-R MAHUKAN R36 KEKAL DENGAN ENJIN ICE – KORANG RASA LOGIK TAK?
Dah lebih kurang seminggu peminat Nissan GT-R mengucapkan selamat tinggal kepada R35. Pengeluarannya ditamatkan selepas 18 tahun dengan lebih kurang 48,000 unit dihasilkan. CEO Nissan, Ivan Espinosa berjanji yang Godzilla Jepun ni akan muncul kembali satu hari nanti tapi persoalannya enjin apa yang akan digunakan? Atau lebih tepat lagi masih guna enjin ICE ke?

Kalau diikutkan pada model konsep Hyper Force sebelum ini, dah terang lagi nyata ia sebuah EV. Menariknya “Godfather Nissan GT-R”, Hiroshi Tamura mahukan GT-R kekal degan enjin ICE sekurang-kurangnya untuk satu lagi generasi.
Tamura, bekas perancang untuk GT-R R35, menulis dalam satu artikel untuk laman sesawang Nissan menyatakan secara ideal, R36 mesti mengekalkan penggunaan enjin ICE. Namun itu sekadar pendapat dan pandangan beliau semata-mata.

Jadi para peminat jangan seronok sangat sebab Tamura (sekarang duta jenama Nissan) menjelaskan yang tiada sebarang pentunjuk dari Nissan sendiri tentang hala tuju GT-R baharu. Ia hanyalah pendapat peribadi beliau sendiri.
Sudah tentu keputusan bukan terletak di tangan beliau. Memandangkan Hyper Force ialah sebuah gergasi EV dengan 1,341 hp kuasa, ia mungkin menjadi pilihan Nissan untuk menjadi R36 akan datang. Cuma semuanya sekarang masih samar-samar. Dengan keadaaan Nissan yang sedang bergolak rasanya memang lambat lagilah pengganti Godzilla akan keluar.
Awal tahun ini pun dalam satu temubual bersama majalah Top Gear, Tamura menjelaskan yang beliau tidak berapa yakin GT-R baharu akan menjadi model EV sepenuhnya. Kalau hibrid tu mungkin tapi sudah tentu Nissan akan mendapatkan pendapat pelanggan mereka sebelum memulakan pengeluaran. Kalau ramai yang tidak mahukan model EV 100 peratus sudah tentu mereka tidak akan menghasilkannya.

Bagi sesiapa yang belum kenal dengan Tamura, beliaulah insan yang bertanggungjawab meninggalkan enjin sebaris enam dan kotak gear manual manual pada Nissan GT-R dan menggantikannya dengan enjin V6 dan kemudian digabungkan dengan transmisi auto klac berganda.
Ramai yang kata itu kerja gila tapi menjelang tahun 2000 memang kebanyakan kereta sports dah bertukar dari gear manual ke auto ataupun semi auto. F1 pun dah lama tinggal gear manual bai.







