Artikel Pilihan

8 KERETA ELEKTRIK YANG DIJUAL DI MALAYSIA SECARA RASMI, BUKAN TESLA

Perubahan pola hujan yang pelik, berlakunya ribut tropika secara kerap, banjir kilat yang terjadi secara tiba-tiba dan perubahan musim banjir yang biasa melanda adalah beberapa fenomena alam yang berlaku akibat kesan pemanasan global yang berlaku.

Punca pemanasan global mudah sahaja, pembebasan gas karbon dioksida terutama daripada industri dan juga pengangkutan. Walaupun saban tahun peraturan pelepasan gas karbon dioksida menjadi semakin ketat, bilangan kenderaan yang dijual di seluruh dunia tetap meningkat.

Gas karbon dioksida yang terbabas akan memerangkap haba dari cahaya matahari, memanaskan atmosfera dan menyebabkan pencairan ais di kawasan kutub. Lama-kelamaan pola perubahan cuaca ini sampai ke negara kita.

Jika anda mampu dari segi kewangan, apa kata anda pilih kenderaan yang lebih mesra alam dan dijual di negara kita secara rasmi. Tambahan pula kerajaan telah memperkenalkan beberapa insentif khas untuk kenderaan elektrik yang berakhir 31 Disember bagi EV versi CKD. Antara EV yang dijual secara rasmi termasuklah:

1. Hyundai Kona Electric – merupakan kereta elektrik termurah setakat ini dengan tawaran harga sekitar RM 149,888 bagi varian e-Lite yang datang dengan bateri sebesar 39.2kWh. Bateri sebesar ini membolehkan Kona EV dipandu sejauh 305km WLTP dan motor elektrik yang menjana 134 kuasa kuda & 395Nm tork

Bagi varian e-Max ia datang dengan bateri sebesar 64kWh yang membolehkannya dipandu sejauh 484km WLTP disebabkan model ini dipasang dengan motor elektrik yang lebih besar iaitu 200 kuasa kuda & 395Nm tork. Tapi varian ini ditawarkan pada harga yang lebih tinggi iaitu RM 199,888.

2. Hyundai IONIQ 5 – sebuah lagi kereta elektrik keluaran Hyundai, tapi kali ini dengan menggunakan platform khusus bagi kereta elektrik. Berbeza dengan Kona yang menggunakan pacuan depan, Ioniq 5 menawarkan pacuan roda belakang bagi varian Lite (RM 199,888) & Plus (RM 229,888)

Kedua dua varian ini menawarkan motor elektrik dengan 167 kuasa kuda dan 395Nm tork. Bateri ion lithium sebesar 58kWh yang dipasang membolehkan ia dipandu sejauh 384km WLTP. Varian e-Max pula ditawarkan dengan konfigurasi AWD, bateri 72.6kWh serta jarak perjalanan sejauh 430km.

Ini kerana varian e-Max dipasang dengan 2 motor elektrik yang menjana 300 kuasa kuda dan 605Nm tork. Namun ia ditawarkan pada harga yang lebih mahal iaitu pada RM 259,888.

3. Volvo XC40 Recharge P8 AWD – sebelum ini XC40 ditawarkan dalam varian petrol sahaja yang dikenali dengan nama T5 AWD sebelum model PHEV T5 Recharge diperkenalkan. Namun semalam Volvo telah melancarkan satu lagi model elektrik sepenuhnya yang diberi nama Recharge P8 AWD Pure Electric

Ia akan dipasang di kilang pemasangan Volvo di Shah Alam, ditawarkan dengan 2 motor elektrik yang menjana sehingga 400 kuasa kuda dan 660Nm tork. XC40 datang dengan bateri sebesar 78kWh yang membolehkannya dipandu sejauh 418km WLTP. Harga bagi XC40 EV ini dijangka tidak melebihi RM 300,000.

4. Mini Electric – ditawarkan pada harga RM 178,241 dengan sistem 1 motor elektrik yang menjana sehingga 181 kuasa kuda dan 270Nm tork. Dengan bateri sebesar 28.9kWh, Mini mampu dipandu sejauh 234km (bukan WLTP) serta memerlukan masa pengecasan selama 84 minit.

Walaupun kecil, Mini Electric menawarkan pecutan 0-100km/j dalam masa 7.3 saat dah halaju maksima dihadkan pada 150km/j.

5. BMW iX3 – datang dengan 2 pilihan varian samaada M Sport Inspiring (RM 317,000) atau M Sport Impressive (RM 336,000). Tapi semua varian dikuasakan dengan 1 motor elektrik yang menjana 282 kuasa kuda dan 400Nm tork

Bateri Lithium sebesar 73.8 membolehkan iX3 dipandu sejauh 453 sebelum perlu dicaj semula. Pengecasan pantas memerlukan masa 32 minit manakala pengecasan penuh memerlukan masa 7.5 jam

6. BMW iX – ditawarkan dengan 2 varian samaada iX xDrive40 (RM 361,000) atau iX xDrive40 Sport (RM 407,000). Kedua dua model ditawarkan dengan 1 motor elektrik sebesar 322 kuasa kuda dan 630Nm tork.

Bateri lithium ion sebesar 76.6 kWh pula menawarkan jarak perjalanan sejauh 425km sebelum perlu dicaj semula. Model ini berupaya memecut 0-100km/j dalam masa 6.1 saat dan halaju maksima dihadkan pada 200km/j

7. Mercedes Benz EQA – sebuah SUV berkuasa elektrik dengan 1 motor elektrik yang menghasilkan 188 kuasa kuda dan 375Nm tork. Ia dilengkapkan dengan bateri sebesar 66.5 kWh bagi membolehkan EQA dipandu sejauh 429km

EQA dijual pada harga RM 278,000 datang dengan 1 varian sahaja, menawarkan pecutan 0-100km/jam dalam masa 8.9 saat dan halaju maksima dihadkan pada 160km/j.

8. Nissan Leaf – antara pelopor awal kereta elektrik di Malaysia ditawarkan pada harga RM 188,888. Ia datang dengan 1 motor elektrik 148 kuasa kuda dan 320Nm tork. Bateri ion lithium sebesar 40kWh pula menawarkan jarak perjalanan sejauh 270km untuk sekali caj

Ya ini adalah 8 kereta berkuasa elektrik yang ditawarkan secara rasmi di Malaysia. Anda masih boleh membeli Tesla jika anda mahu, tapi ia hanya dibawa masuk melalui grey importer. Bagi kenderaan dengan teknologi elektrik dan baru, sokongan teknikal dari pusat servis adalah amat penting. Anda boleh sakit kepala kalau Tesla anda rosak dan tidak tahu ke mana nak buat pembaikan.

Google ads
Back to top button