
NISSAN PAMER MOBILITI CERDAS DI JAPAN MOBILITY SHOW 2025
Nissan bakal mempersembahkan visi mobiliti masa depan yang lebih pintar dan lestari di Japan Mobility Show 2025, menerusi barisan model baharu serta teknologi termaju di bawah strategi Re: Nissan.
Acara ini menandakan komitmen berterusan jenama Jepun itu dalam mentakrif semula pengalaman pemanduan berasaskan inovasi dan kelestarian.
Antara tumpuan utama ialah pelancaran Nissan Elgrand generasi keempat, minivan mewah yang kini dilengkapi sistem e-POWER generasi ketiga.

Model ini menawarkan rekaan lebih elegan, prestasi lebih cekap serta keselesaan yang ditambah baik untuk seisi keluarga.
Turut dipamerkan ialah Nissan Ariya EV versi kemas kini yang tampil dengan rekaan diperhalusi, sistem infotainmen berasaskan Google, dan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) bagi menyokong gaya hidup moden.

Nissan turut menampilkan LEAF generasi ketiga, simbol kepada komitmen syarikat terhadap elektrifikasi global. Bersamanya ialah model elektrik lain seperti Micra khas untuk pasaran Eropah dan N7 sedan dari China.
Dalam memperkukuh hubung kait antara inovasi dan kelestarian, Nissan turut mempamerkan kereta Formula E yang menjuarai kejuaraan pemandu musim 2024/2025, menggambarkan keupayaan teknologi elektriknya di litar perlumbaan.

Menariknya, Nissan juga akan memperkenalkan prototaip kenderaan autonomi berasaskan model Serena, yang akan diuji mulai November di Yokohama. Inisiatif ini bertujuan mengatasi cabaran pengangkutan yang dihadapi masyarakat warga emas di Jepun.
Apabila pameran dibuka kepada umum pada 31 Oktober, pengunjung akan dapat melihat barisan model khas untuk pasaran Jepun termasuk Skyline 400R Limited Edition 2026, X-Trail Rock Creek, serta Fairlady Z berprestasi tinggi, memberi gambaran jelas tentang hala tuju masa depan Nissan.
- BACA: BELANJAWAN 2026: PENGECUALIAN DUTI AKSAIS, CUKAI JUALAN UNTUK PEMANDU TEKSI BELI KERETA NASIONAL BAHARU
- BACA: SKODA FABIA 130 RS – MODEL KHAS DENGAN DNA RALI. BOLEH BERLUMBA TERUS KOT LEPAS NI
- BACA: NISSAN N6 DILANCARKAN DI CHINA HUJUNG TAHUN INI, TAWAR JARAK GERAK SEHINGGA 130KM
- BACA: BUDI95: TIGA CARA MUDAH NIKMATI SUBSIDI RON95 DI BHPETROL