KILANG HONDA DI MELAKA BERALIH KEPADA TENAGA SOLAR, LABUR RM14 JUTA
Honda Malaysia terus memperkukuh komitmen terhadap kelestarian apabila merasmikan projek pemasangan sistem tenaga solar pertama di kilang pemasangannya di Alor Gajah, Melaka, sekali gus menjadi langkah penting ke arah sasaran global Honda untuk mencapai neutral karbon menjelang 2050.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, yang menyaksikan pencapaian baharu syarikat dalam usaha mengurangkan kesan alam sekitar menerusi penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
Bagi merealisasikan projek itu, Honda Malaysia melaburkan kira-kira RM14 juta menggunakan dana sendiri sebagai bukti kesungguhan syarikat mengimbangi pertumbuhan perniagaan dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Sistem tersebut melibatkan pemasangan hampir 8,960 panel solar di bumbung kilang dengan kapasiti penjanaan melebihi 5.6 megawatt (MW). Ia dijangka menghasilkan sekitar 7,042 megawatt-jam (MWh) tenaga elektrik hijau setiap tahun.

Melalui penggunaan tenaga solar itu, kilang Honda di Melaka dianggarkan mampu mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO₂) sebanyak 4,584 tan setahun, bersamaan kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan pelepasan karbon operasi kilang berkenaan.
Selain sistem fotovoltaik (PV) solar, Honda Malaysia turut melengkapkan kemudahan itu dengan Battery Energy Storage System (BESS) yang berfungsi menyimpan lebihan tenaga solar untuk digunakan semula apabila diperlukan.
Sistem berkenaan membantu meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga serta memastikan bekalan elektrik lebih stabil bagi operasi pengeluaran.
Honda Malaysia turut memaklumkan bahawa syarikat merupakan antara pengguna elektrik industri terawal di negara ini yang melaksanakan penggunaan BESS sebagai sebahagian daripada usaha mempercepatkan peralihan kepada operasi rendah karbon.
Dalam aspek tadbir urus dan kelestarian, Honda Malaysia turut berjaya memperoleh pensijilan Climate and Sustainability Industry Readiness Index (COSIRI) dengan penarafan 3.07 bintang, mencerminkan pelaksanaan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang semakin kukuh dalam operasinya.
Usaha kelestarian syarikat bukan sahaja tertumpu kepada sektor pembuatan, malah turut diperluaskan menerusi pengembangan rangkaian model e:HEV yang menawarkan teknologi hibrid lebih cekap bahan api dan mesra alam kepada pengguna.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata, kejayaan menyiapkan projek solar berkenaan menjadi pencapaian penting dalam perjalanan syarikat ke arah operasi yang lebih mampan.
Menurutnya, selain mengurangkan jejak karbon, projek itu turut membuktikan komitmen Honda Malaysia terhadap amalan pembuatan yang lebih bertanggungjawab.
Beliau berkata, syarikat turut merancang memperluaskan penggunaan sistem tenaga solar ke gudang alat ganti di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 2027.
Katanya, usaha kelestarian Honda Malaysia juga disokong rangkaian pengedarnya yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif hijau seperti sistem penuaian air hujan dan pelupusan bateri secara bertanggungjawab.
Dengan siapnya projek tenaga solar di kilang Melaka, Honda Malaysia optimis dapat terus meningkatkan kecekapan operasi sambil memperkukuh usaha menghasilkan produk dan proses pembuatan yang lebih mesra alam, selaras dengan matlamat Honda mencapai neutral karbon menjelang tahun 2050.
- BACA: OMODA & JAECOO MALAYSIA RAKAN AUTOMOTIF KLFW 2026, OMODA C7 BUAT PENAMPILAN SULUNG
- BACA: TOYOTA CROWN 2027 NAIK TARAF SISTEM HIBRID, HARGA TURUT MENINGKAT
- BACA: ZEEKR 9X ‘LUMPUH’, HILANG FUNGSI PINTAR DI LUAR CHINA
- BACA: PERANG HARGA EV: PERODUA TURUNKAN HARGA QV-E SAINGI PROTON E.MAS 5 – KENANGA RESEARCH








