
PAD BREK – APA YANG PERLU DIKETAHUI TENTANGNYA
Rasanya semua pun tahu apa fungsi brek pada sebuah kereta. Ia berfungsi memperlahankan kereta, sebelum berhenti dengan selamat. Tapi dalam keadaan tertentu brek juga perlu mampu menghentikan kereta dengan serta merta untuk mengelak daripada perlanggaran dengan kenderaan lain, pejalan kaki mahupun penunggang motosikal. Itulah kepentingan brek yang tidak boleh dipandang remeh. Ini antara perkara yang anda perlu tahu sedikit sebanyak tentang brek kereta anda.

Apa itu pad brek dan bagaimana ia berfungsi?
Anda perlukan geseran untuk menghentikan kereta dan ia dihasilkan oleh pad brek. Ia merupakan komponen yang mengenakan tekanan dan mewujudkan geseran pada cakera dan seterusnya menghentikan pusingan roda kereta anda.
Ia bukan bertindak sekali dua tetapi setiap kali anda menekan brek proses yang sama akan berlaku. Jadi sudah tentu lama kelamaan ia akan haus dan perlu ditukar baru.
Berapa lama pad brek bertahan?
Tidak ada jangka masa ditetapkan. Ia berbeza bagi setiap kenderaan bergantung kepada cara ia dipandu, di mana ia dipandu dan berapa kerap ia dipandu.
Secara purata ia boleh bertahan sehingga 80,000 kilometer tetapi mungkin juga lebih lama. Kekerapan penukaran sebenarnya bergantung kepada cara pemanduan anda dan beberapa faktor lain.
Faktor-faktor yang mempengaruhi ketahanan pad brek
- Di mana anda memandu?
Jika anda selalu memandu di lebuh raya anda akan dapati pad brek anda bertahan lebih lama berbanding memandu di celah kesibukan trafik ataupun jika anda selalu membuat perjalanan dekat.
Sebabnya tentulah kerana anda banyak mengenakan brek untuk berhenti contohnya di lampu isyarat, simpang ataupun bulatan. Berbeza dengan pemanduan di lebuh raya yang lancar tanpa perkara-perkara tadi.
- Berapa orang penumpang?
Jumlah penumpang mempengaruhi berat sesebuah kereta. Semakin ringan kereta semakin ringan tekanan yang harus dihasilkan brek untuk berhenti. Ia juga akan mempengaruhi ketahanan pad brek.
- Jenis pad brek digunakan
Jenis pad brek yang anda gunakan juga mempengaruhi ketahanannya.
- Pad organik biasanya murah tetapi tidak tahan lama.
- Pad low metallic boleh mengeluarkan bunyi bising tetapi tahan lebih lama berbanding pad organik.
- Pad semi-metallic mempunyai ketahanan yang tinggi tapi masih haus dalam jangka masa tertentu.
- Pad seramik tahan lebih lama dan paling kurang haus tetapi ia biasanya lebih mahal berbanding dengan pad lain.
Pad brek depan biasanya akan haus terlebih dulu kerana bebanan yang lebih berat berada di hadapan.
- Jarak perjalanan anda
Semakin jauh anda memandu semakin banyak anda menggunakan brek dan semestinya ia haus dengan lebih cepat. Mudah bukan?
Macam mana untuk mengetahui pad brek perlu ditukar?
Jangan sesekali menangguh masa penukaran jika ia perlu dilakukan. Setengah kenderaan moden memang mempunyai sensor dan penunjuk yang memberitahu anda masa untuk penukaran pad brek. Tapi sebenarnya terdapat tanda-tanda lain yang boleh kita perhatikan.
- Bunyi yang kuat dari bahagian brek kereta anda
Jika anda mendengar bunyi seperti logam bergeser dari bahagian roda kereta anda, itu sebenarnya petanda yang pad brek anda sudah nipis ataupun hampir habis tempoh.
- Pemeriksaan secara visual
Pad brek bolek dilihat melalui celahan rim untuk mengesan kehausan. Ia merupakan bahagian yang bersentuh secara langsung dengan cakera brek. Ia juga perlu mempunyai ketebalan minima 3 milimeter. Jika kurang dari itu, segera hantar ke bengkel untuk diperiksa ataupun ditukar baru.
- Kereta sentiasa bergerak ke satu bahagian
Sewaktu memandu jika kereta anda selalu bergerak ke satu bahagian sama ada kiri atau kanan, ia juga merupakan satu petanda yang pad brek perlu ditukar.
- Gegaran kuat
Jika pedal brek bergerak sewaktu anda ingin membrek, ia mungkin sudah terlaku nipis ataupun mungkin juga terlalu panas.

Cara memanjangkan usia pad brek
Sudah tentu ada caranya untuk memanjangkan usia pad brek.
- Elakkan membuat pecutan pantas dan mengenakan brek dengan pantas untuk mengambil selekoh ala pemandu rali. Ia akan mengurangkan tekanan pada brek.
- Sentiasa peka dengan keadaan lalu lintas di hadapan anda. Ia membantu anda mengenakan brek dengan lebih berhemat dan bukannya membrek secara tiba-tiba.
- Satu cara lagi ialah membiarkan kereta anda bergerak dalam keadaan melahu sebelum menghampiri simpang dan membiarkan graviti memperlahankan kereta anda sebelum mengenakan brek pada kelajuan rendah.
- Jika brek tidak digunakan sekalipun, geseran akibat pemanduan laju masih akan menghauskan pad brek kerana ia sentiasa bersentuhan dengan cakera brek.
- Pastikan tiada barangan tidak perlu berada di dalam kereta anda kerana berat yang berlebihan akan memberi lebih tekanan kepada brek.
Penutup
Pad brek merupakan komponen yang amat penting dan mesti selalu diberi perhatian. Jikka tali sawat boleh menyelamatkan enjin dan poket anda, pad brek yang baik pula mampu menyelamatkan nyawa anda dan penumpang. Selamat memandu.