ROLLS-ROYCE PHANTOM BAHARU DEBUT DI MALAYSIA – BERMULA RM2.2 JUTA!
Pengedar kenderaan Rolls-Royce di Malaysia, Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur hari ini melancarkan model Phantom baharu ke pasaran tempatan.
Phantom hadir dalam dua varian iaitu Standard Wheelbase yang ditawarkan pada harga RM2.2 juta. Manakala Phantom Extended Wheelbase pula boleh anda miliki pada harga bermula RM2.5 juta.
Phantom dibina di atas kerangka aluminium sepenuhnya serba baharu. Ia bukan sahaja lebih ringan, malah menawarkan pengendalian yang lebih mantap. Kerangka itu akan digunakan semua model baharu Rolls-Royce pada masa depan.
Sudah memasuki generasi kelapan, Phantom dikuasakan oleh enjin pengecas berkembar V12 bersesaran 6.75 liter serba baharu. Mampu menghasilkan kuasa 563hp dan 900Nm tork bermula daripada 1,700rpm!
Prestasi itu membolehkan Phantom memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa cuma 5.4 saat, hasil gabungan transmisi automatik lapan kelajuan yang turut dibantu oleh satelit.
Bagi meningkatkan lagi keselesaan, jentera ultra mewah ini dilengkapi sistem stereo kamera ‘Flagbearer’ yang dipasang pada cermin hadapan. Ia berfungsi memantau laluan di hadapan dan mengubah suai suspensi secara proaktif.
Lampu hadapannya menggunakan teknologi lazer termaju yang berupaya memberi suluhan cahaya sehingga 600 meter pada waktu malam.
Kemewahan Phantom terserlah apabila anda masuk ke dalam kabinnya. Seperti yang boleh dijangka, Rolls-Royce menggunakan material kulit dan kayu paling premium. Keempat-empat buah pintunya kini boleh ditutup secara elektrik menerusi satu sentuhan lembut pada hendal pintunya.
Penumpang diberi beberapa pilihan format tempat duduk belakang, sama ada berbentuk lounge atau individual. Tahap keselesaan dipertingkatkan menerusi kedapan kabin yang sepuluh peratus lebih senyap berbanding model terdahulu.
Untuk memberi ketenangan minda kepada pelanggannya, Phantom didatangkan bersama pakej servis selama empat tahun jaminan serantau, bantuan tepi jalan 24 jam dan pasukan selepas jualan yang dikenali sebagai ‘flying doctor’.
GALERI