
PANDU UJI TOYOTA HARRIER 2.0T PREMIUM – LEGASI SUV JEPUN YANG CEMERLANG
Toyota mungkin satu-satunya pembuat kereta utama di dunia yang agak payah menerima pembaharuan teknologi. Falsafah pembuatan mereka masih kekal dengan teknologi ringkas dan kepercayaan tentang reliabiliti.
Walaupun kelihatan sedikitseperti ketinggalan zaman, namun resepi inilah yang berjaya meletakkan Toyota No 1 dalam indeks kepercayaan pengguna.
Kenderaan jenama Toyota jarang sekali mendatangkan masalah besar. Ia umpama sebuah mesin kalis peluru yang tidak memerlukan penjagaan yang kompleks.
Toyota jarang berinovasi dalam aspek kemewahan. Bagi mereka, segmen mewah biarlah diuruskan oleh Lexus, namun pada tahun 1997, Toyota lahir dengan idea untuk membuat sebuah SUV kelas premium. Saat itu, lahirlah Toyota Harrier model pertama.
HARRIER Generasi Pertama
Ia berkongsi platform dengan Lexus RX. Disebabkan itu juga, ia SUV Toyota pertama yang “bertindan” dengan pasaran SUV sedia ada – RAV4.
Begitupun agak mudah melihat posisi Harrier ketika itu. Jika RAV4 hadir sebagai SUV massa, Harrier dikelaskan ke bahagian premium.
BACA: KEAJAIBAN MPV TOYOTA – VELLFIRE
Ia lahir pada masa yang tepat. Harrier pantas mendapat tempat di negara asalnya Jepun. Ketika ini, ia tiada saingan dalam jenama Jepun malah BMW belum lagi membuat X series mereka dan Audi masih lagi tercari-cari rentak untuk membuat SUV.
Pasaran premium ketika itu – jika boleh dilabelkan sama hanya ada dari Land Rover menerusi model Discovery.
HARRIER Generasi Kedua
Model kedua Harrier pula berkongsi resepi yang sama dengan model pertama. Malah lebih baik lagi, terdapat varian AIR-S dilengkapi sistem suspensi airmatic yang kompleks. Ia direka untuk satu tujuan – keselesaan.
Harrier generasi kedua juga adalah yang paling lama dalam sejarah pengeluarannya. Ia dihasilkan bermula tahun 2003 hingga 2013.
Ia model yang cukup berjaya di pasaran Jepun apatah lagi di Malaysia sebagai versi recond. Ketika ini, Nissan ada Murano dan itulah satu-satunya pesaing yang Toyota perlu hadapi.
Begitupun, ketika Edaran Tan Chong membawa masuk Murano versi baru ke pasaran tempatan, UMW-Toyota masih belum membawa Harrier versi baru dengan jaminan pengeluar.
Semua Harrier generasi kedua yang anda lihat menjalar di jalanraya sekarang adalah versi recond.
HARRIER Generasi Ketiga
Ini adalah model generasi ketiga Harrier. Ia dilancarkan pada 2015 menerusi tiga varian asal di Jepun, Advance, Premium dan Premium Advance.
Berbeza dengan generasi sebelum ini yang berkongsi rumah dengan Lexus, Harrier generasi ketiga ini berdiri sendiri di atas platform Toyota.
Sementara itu, Lexus telah diagihkan kepada tiga model berbeza, RX, NX dan UX.
Secara dasarnya, Harrier ini masih mengekalkan DNA asal sewaktu pertama kali dihasilkan. Ia dicipta untuk keselesaan dan kemewahan. Di Jepun, ia didatangkan dengan pelbagai opsyen dan sambutan untuk versi recond di sini seperti yang dijangka, laris.
Menyedari hakikat bahawa mereka kehilangan besar pasaran SUV ini, UMW Toyota membuat keputusan untuk membawa masuk Harrier ke pasaran tempatan pada awal tahun ini.
Kami berpeluang memandu Harrier 2.0T Premium baru-baru ini ke Kuantan untuk satu tugasan.
Dipendekkan cerita, kami berempat bergerak awal pagi dari Kuala Lumpur, melalui Lebuhraya Karak, Lebuhraya Pantai Timur dan keluar ke persimpangan Gambang. Kemudian, ikut jalan lama Pekan – Tg Lumpur, masuk bandar Kuantan, dan kembali menggunakan laluan sama kami datang.
Keempat-empat kami memiliki kereta berbeza, Uncle Kent memandu Honda CR-V Gen 4, Abang Japar CR-V Gen 5, Syuk Mazda 2 dan Baharuddin atau lebih dikenali dengan nama Bard, “menunggang” Mitsubishi Triton.
Kami memandu bergilir-gilir untuk mendapatkan pendapat berbeza.
Suasana dalaman mewah
Pertama kali memasuki ke dalam Harrier ini mata terus dijamu dengan suasana dalaman mewah. Tempat duduknya selesa dengan keseluruhan dalaman bertemakan warna hitam.
Papan pemukanya juga cantik dan elegan, ia adalah padanan di antara gayaan progresif dan klasik melalui jarum meter analog.
Bahagian tengah papan pemuka yang menempatkan sistem multimedia adalah terjemahan baharu konsol ‘air terjun’ yang dominan dan juga terdapat pada Vellfire atau Alphard.
Dari segi ergonomik pula, ianya adalah sebuah Toyota di mana capaian suis dan gear selesa dan mudah untuk dicapai. Tiada tombol atau suis yang boleh dipulas, semuanya diganti dengan butang digital.
Stereng balutan kulit pula sedap digenggam dan boleh dilaras untuk keselesaan pemandu.
Konsol tengah juga dilihat ‘bersih’ tanpa brek tangan yang digantikan suis brek elektronik pada papan pemuka. Satu komponen yang jelas dilihat hanyalah tombol gear.
Mungkin pada masa akan datang, Toyota boleh mereka semula tombol bergaya ala kereta premium lain atau cukup dengan tombol selektor gear.
Satu lagi keistimewaan Harrier ialah peranti Smart Tag yang terbina di bawah perehat lengan.
Pengguna tidak perlu susah-susah lagi membeli peranti kad asing atau melalui lorong Touch N’ Go, hanya masukkan kad di dalam slot di bawah perehat lengan dan pandu sahaja melalui lorong Smart Tag seperti biasa.
Cuma agak ralat apabila Toyota tidak menyediakan beberapa slot USB untuk penumpang kecuali hanya pada set multimedia. Agak sukar jika dua penumpang memerlukan slot USB untuk mengecas telefon pintar pada masa yang sama.
Beralih ke belakang, saiz ruang kaki selesa untuk penumpang dewasa manakala kerusi menyokong badan dengan baik. Menariknya perehat belakang badan boleh dilaras untuk lebih keselesaan terutama sekali dalam perjalanan jauh.
Penumpang belakang turut selesa melalui corong penyaman udara di bahagian konsol tengah. Ruang bagasi belakang pula berukuran 440 liter.
Untuk sebuah SUV, saiz ini sederhana sahaja dan lebih sesuai untuk citarasa tempatan jika dapat dibesarkan lagi.
Satu perkara tentang Harrier ialah ia mesti selesa dan sekarang ini pada era di mana reka bentuk lebih terarah kepada cantik berbanding ‘fungsi’, syukurlah pereka Toyota masih berpegang kepada prinsip tradisional.
Luaran yang agresif
Harrier secara tradisinya perlu tampil dengan reka bentuk agresif dan mendahului zaman. Lihat sahaja generasi pertama dan kedua, semuanya menarik perhatian dan ia diteruskan pada generasi ketiga ini.
Sama ada Alphard, Vellfire atau Harrier, ketiga-tiga model ini mewakili kelompok model progresif Toyota malah ia lebih berani berbanding produk konvesional lain.
Ciri paling menonjol ialah lampu utama LED yang nipis dan rekaan bawah bampar yang agresif.
Namun Ia tidak terlalu agresif seperti gril spindle Lexus atau segarang Alphard dan Harrier, cukup sekadar untuk memberitahu bahawa ini adalah Toyota Harrier, sebuah SUV dalam segmen premium.
Bahagian belakang pula tampil menawan dengan lampu belakang kanan dan kiri dicantumkan dengan garis halus.
Walaupun bahagian depan Harrier ini tampil agresif, satu perkara yang menarik ialah bagaimana kesemua bahagian tampak harmoni melalui gayaan yang berkadaran (proportionate) dan malar segar (timeless).
Pengalaman pemanduan
Harrier generasi ketiga yang dibawa masuk oleh UMWT ini digerakkan oleh enjin 2.0L Turbo (Twin-scroll) VVT-iW dengan kuasa 231 PS di antara 5,200 rpm hingga 5,600 rpm dan tujahan 350 Nm dari 1,600 hingga 4,000 rpm.
Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal. dan Sport. Enjin tersebut dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan Super ECT dan pacuan 2WD.
Model recond pula ditawarkan dengan enjin 2.0 tanpa turbo berkuasa 152 PS dan tork 206 Nm serta padanan transmisi CVT. Di atas kertas jelas boleh dilihat unit rasmi UMWT ini lebih berkuasa.
Pemanduan di atas jalan raya pula memberi pengalaman yang tenang, Harrier dengan kuasa turbo ini tidak gopoh, ia selesa dipandu, responsif pada pergerakan stereng dan suasana dalam kabin yang tenteram.
Harrier bukan kereta sport, enjin dengan pendesak turbo yang dibekalkan adalah supaya SUV ini kekal bertenaga dan tidak lelah apabila memotong kenderaan lain.
Apabila pedal minyak ditekan kuat, Harrier akan melonjak ke hadapan melakukan kerjanya walaupun dengan empat penumpang dewasa.
Jika dipandu secara biasa, ia juga berlagak biasa ala lelaki budiman, tiada drama atau karakter enjin yang sentiasa mengacah pemandunya supaya terus menekan pedal minyak.
Teknologi bantuan pemanduan
Pada masa kini, agak janggal sebenarnya untuk sebuah SUV berharga lebih dari RM 200,00 hadir tanpa teknologi bantuan pemanduan.
Toyota Harrier ini dilengkapi pakej Toyota Safety Sense yang terdiri daripada pelbagai teknologi seperti Sistem Pra-pelanggaran, Kawalan Jelajah Radar dan Amaran Penukaran Lorong.
Sistem ini berfungsi supaya pemanduan menjadi lebih selamat. Contohnya apabila anda malas menekan pedal minyak, tetapkan sahaja kelajuan melalui butang di stereng (Kawalan Jelajah Adaptif) dan kelajuan akan dikawal secara automatik.
Sistem ini pintar apabila anda menghampiri kereta hadapan, kelajuan akan ditetapkan mengikut jarak kereta tersebut tanpa anda perlu mengubah apa-apa. Kemudian kelajuan akan ditingkatkan kembali apabila jalan hadapan kosong.
Selain itu apabila anda mengantuk dan tersasar ke laluan sebelah secara tidak sengaja, sistem amaran akan berbunyi supaya anda bertindak balas. Amaran yang dibunyikan memang kuat dalam memastikan anda kekal sedar.
Teknologi keselamatan standard pada Harrier ini ialah 7 beg udara, Kawalan Penstabilan Kenderaan dan Kawalan Cengkaman, Kawalan Bantuan Mula Daki, Signal Brek Kecemasan, Brek Parkir Elektronik dengan Brek Henti Automatik dan kamera undur.
Kesimpulan
Sesetengah orang mungkin beranggapan bahawa harga yang diletakkan oleh UMWT jauh lebih mahal dari versi recond, namun jika anda bandingkan tahun dengan tahun, sebenarnya, ia harga yang munasabah.
Tambahan lagi, anda membeli sebuah kereta baru dengan jaminan tanpa had perbatuan selama lima tahun oleh pengedar sah.
Dan pada yang mungkin tidak sedar, Harrier yang dibawa masuk oleh UMWT adalah varian facelift terkini yang dilengkapi enjin turbo 2.0 berkuasa 210hp berbanding enjin N/A 2.0 versi recond yang hanya mengekstrak 150hp.
Untuk rekod, versi recond di pasaran sekarang adalah generasi pra-facelift keluaran tahun 2015-2017 sementara model yang ditawarkan oleh UMW Toyota menggunakan enjin moden – sama dengan sebuah Lexus NX200T.
Kepada pelanggan yang berkira-kira dengan harga, UMWT sebenarnya menawarkan dua varian iaitu Premium dan Luxury.
Varian yang kami pandu uji ini ialah Harrier 2.0T Premium dengan harga RM 243,000 manakala Harrier 2.0T Luxury pula berharga RM 266,000.
Perbezaan ketara di antara kedua model ini ialah terletak pada kelengkapan seperti bumbung suria, balutan kerusi, kerusi depan tanpa aliran udara, pintu but berkuasa dan beberapa lagi yang menjustifkasi jurang harga lebih dari RM 20,000 tersebut.
Tidak kira varian mana yang anda pilih, Harrier membawa prestij tersendiri dan satu perkara mengenai model ini ialah nilai terpakai yang tinggi walaupun berusia. Ini keistimewaan dalam memiliki kenderaan Toyota.
GALERI