
UMW TOYOTA MOTOR PERKENAL KEMPEN SERVIS KERETA RECOND, BERMULA RM469
UMW Toyota Motor (UMWT) memperkenalkan kempen servis khas di seluruh negara untuk kereta import terpakai (recond) jenama Toyota sebagai usaha memperluaskan akses kepada perkhidmatan selepas jualan menerusi inisiatif Toyota Extra Mile.
Kempen itu membolehkan pemilik kereta import terpakai Toyota mendapatkan khidmat penyelenggaraan daripada juruteknik bertauliah Toyota, selain menggunakan alat ganti tulen serta mengikut piawaian servis yang ditetapkan pengeluar.
Menurut UMWT, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen syarikat untuk memastikan setiap kenderaan Toyota terus menerima penjagaan sewajarnya, tanpa mengira sama ada ia dibeli menerusi saluran pengedar rasmi atau pasaran kereta import terpakai.

Tambahnya, langkah itu juga bertujuan mengekalkan tahap kualiti, ketahanan dan kebolehpercayaan yang menjadi antara ciri utama jenama Toyota sejak sekian lama.
Dengan sokongan rangkaian 103 pusat servis Toyota di seluruh Malaysia, pemilik kereta import terpakai kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk mendapatkan pemeriksaan dan penyelenggaraan profesional.
Rangkaian pusat servis itu turut disokong prosedur kerja yang seragam serta standard penjagaan pelanggan bagi membantu mengekalkan prestasi dan tahap kebolehpercayaan kenderaan sepanjang tempoh pemilikan.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen, termasuk senarai lokasi yang mengambil bahagian, pemilik boleh melayari laman web rasmi www.toyota.com.my atau menghubungi pusat servis Toyota bertauliah dan GR Garage berhampiran.









